Rabu, Jun 05, 2013

Rindu Hidup

Setelah sekian lama tak menulis di blog kesayangan ini... tetiba terlintas dan terjentik hati untuk mengisi blog yang lama menyepi. Tak tahu topik apa yang nak ditulis... sama ada tentang kerja atau peribadi. Kedua-dua satu kehidupan. Kehidupan yang wajib diperjuangkan untuk terus hidup, yang tak ketahuan titik noktahnya. Okey, tatkala tertulis dan terpacul pasal kehidupan... aku nak cuba menulis tentang 'hidup'. Sebenarnya dari tarikh hari ini, sudah 28 minggu aku belajar erti kehidupan. Terlalu cetek ilmu aku tentang sebuah kehidupan rupanya selepas 48 tahun bernafas di bumi ini dan banyak lagi yang perlu diraih dalam pembelajaran dari pewaris-pewaris nabi.

Aku dan kau sebenarnya tiada pilihan dalam kehidupan... cuma hanya memperhambakan diri untuk DIA dan untuk menjadi hambaNYA cuma ada seorang role model yang wajib diikuti iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Tiada jalan lain yang aku dan kau mesti lalui untuk terus hidup sebagai umatnya melainnya dengan berpandukan al-Quran serta mempraktikkan sunnahnya. Hidup sebagai umat Islam berdasar Rukun Islam... rukun yang telah didedahkan sejak awal persekolahan. Membaca dan menghafal dari nombor satu hingga lima, kemudian mengaku diri menjadi seorang Islam. Isi dan intipatinya tak mengaji dan dikaji, apa lagi dihayati untuk dibawa dalam kehidupan. Hidup dan terus hidup selagi bernafas menjadi isi alam.

Aku mula sedar dari khayalan dan celik dari lamunan tentang hijab dunia. InsyaAllah akan aku terus berusaha dalam sebuah kehidupan agar sentiasa sedar akan isi kehidupan dan celik melihat kebesaranNYA.  Hidup yang telah berlalu hanya serpihan-serpihan yang bertaburan yang harus dikutip dijadikan teladan kerana itu sudah tertulis menjadi takdir. Perjalanan hidup di depan tak tercapai dek akal akan jarak perhentiannya. Hidup mesti teruskan kehidupan... dan merindui kehidupan untuk melakar hidup dengan izinNYA.

Sesungguhnya yang menanti di depan sebuah kehidupan itu adalah satu kematian. Itu pasti!