Isnin, November 09, 2009

cover 368 # isu 15 November 2009

Ni cover terkini bertemakan cuti sekolah yang bakal dimanfaat pelajar sekolah yang tak terlibat dengan peperiksaan dua ratus seratus. Pada pelajar yang bakal menjalani peperiksaan diucapkan Selamat Berperiksa... lulus atau gagal dalam peperiksaan hanyalah sebuah keputusan, yang penting adalah ilmu yang ditimba atau dibaldi mestilah dicurahkan sebaiknya untuk menjalani kehidupan seterusnya dengan penuh berilmiah. Belum tentu keputusan cemerlang boleh membahagiakan hidup, begitu juga yang gagal tak semestinya tidak boleh berjaya dalam hidup.

Cuti sekolah sambil cuti-cuti Malaysia adalah pengisian masa yang boleh membahagiakan sebuah keluarga bahagia. Lengkapkan percutian korang tu dengan melayan majalah Ujang, tambahkan gelak tawa serta senyum riang bersama-sama untuk mengenyangkan dan menyenangkan minda. Hehehe... selamat bercuti.

Sebenarnya aku rasa terlalu sibuk kerja-kerja yang tak pernah putus apatah lagi bila nak sampai ke penghujung tahun. Aku banyak bermonolog pasal beban kerja, tempat kerja dan dikerjakan oleh kerja-kerja... menjadi dialog sesama rakan sekerja. Aku bagai hidup dalam lingkungan terhad yang majoriti masa lebih lama di tempat kerja dari mahligai sendiri bersama famili.

Terketiknya jemari aku di keyboard pepagi hari Isnin ni sebenarnya pasal kisah lain bukan mengenai beban kerja. Pasal perjalanan menuju pejabat dari U10 ke USJ... lima hari seminggu antara 6.30 ke 7.00 pagi. Jalan aman damai yang masih dikepit kehijauan hutan simpan bagai masuk ke trek lumba. Kebanyakan pemandu berlumba dengan nafsu sendiri mengejar sesuatu yang memang sudah pasti destinasinya... boleh dirancang dan dikendali dengan hemah dan akal. Pemotong kiri berkenderaan mewah atau biasa seadanya, diubahsuai atau standard yang kurang ajar sama ada jantan atau betina, berpenampilan bergaya atau alim berkopiah atau bertudung, yang berkolar biru atau putih... sememangnya aku biarkan ianya berlalu pergi umpama 'luncai dengan labunya' selagi tidak mengganggu lorong sah secara babi buta membawa malang. Babi yang buta pun tak buta hati macam tu walaupun segelintir pesalah itu berpendidikan sekuler atau agama yang tinggi (Tabiat babi berjalan ramai akan beratur dan tidak potong memotong antaranya). Bayangkan dan fikirkanlah dengan akal tentang ciptaan Tuhan pada binatang haram ini untuk manusia... yang buruk itu ada 'sesuatu' untuk aku dan kau pelajari. Pelajaran yang dituntut manusia kini hanya untuk sekeping kertas pengiktirafan status bukan untuk amalan sepanjang hayat yang dihayati iaitu kasih sayang sesama insan. Kepentingan diri lebih utama dari hak orang lain.

Pagi ini bukan pasal pemotong kiri yang mengejar nafsu sendiri tapi pasal pemotong kanan yang bukan lorong untuk memotong tapi.... memotong di lorong tambahan untuk kenderaan dari simpang kanan menyusuri masuk ke jalan utama. Tercabar kesabaran aku bila si pemotong yang sebelum itu diberi peluang memotong secara berhemah melampiaskan nafsunya cuba memotong di lorong salah yang menaiki bukit tanpa sebarang signal. Andaikata kenderaan yang sememangnya dari Bukit Jelutong ke Shah Alam sudah pasti deretan kenderaan dari Subang akan memberi laluan tapi Kancil yang tetiba muncul laju dari belakang dan mengekori aku sejak di Kayangan Height cuba memotong bagai babi buta dilorong yang salah dan menyusahkan aku dan pemandu lain. Aku terpaksa berhimpit dengan kenderaan sebelah kiri pula untuk memberi laluan pada pemandu babi buta itu. Aku cam nombor pendaftarannya WJ* 72 setengah, warna putih yang dipandu oleh pemandu yang pastinya berpelajaran... kalau tidak berpelajaran tinggi pun pasti pernah belajar memandu. Itu pun pelajaran juga... pelajaran yang berorientasikan peperiksaan semata-mata bukan untuk amalan hidup.

Tidak terfikir ke tentang hukum karma atau balasannya di hari akan datang. Sudah pasti apa yang kau beri akan kau dapat, beri yang baik pasti dibalas dengan yang baik berganda. Sakiti orang lain juga telah dijanjikan dengan balasannya. Pada yang pernah dan bakal disakiti di jalan raya ingatlah pada Tuhan bukan berdendam... wujudkan Tuhan dalam hidup kerana yang menyakitkan itu kerana mereka terlupa pada Tuhan seketika.

Kesimpulannya aku bukan nak simpulkan lagi hidup aku dan kau yang sememangnya bersimpul-simpul. Leraikanlah simpulan-simpulan kehidupan ini dengan cermat dan sabar bukan kelam kabut serta gelojoh... dikhuatiri akan bertambah ketat simpulannya.