Khamis, Oktober 29, 2009

cover 367 # isu 1 November 2009

Kali ni cover hasil karya dan idea kartunis Manggis. Setelah sekian lama dimonopoli oleh kartunis Nik yang semakin boring asyik kena pecah kepala perah otak buat cover maka telah diputus oleh kuasa veto Pengarah Penerbitan untuk menghasilkan cover secara bergilir-gilir. Selepas ni giliran kartunis lain plak, kalau nak tau... korang tungguuuu! Setiap isu akan berlainan sentuhan dari kartunis yang ada kat sini. Aku cuma menyiap dan melengkapkan hasil diorang... sebagai grafik artis aku berada di belakang tabir sesuatu produksi. Tak glamer tapi hati aku pueh! Hehee...

Selasa, Oktober 20, 2009

aku yang satu...

SATU... semua orang tahu pasal angka satu. Mustahil kau tak kenal pasal angka satu ini. Dari yang mula mengenal angka hinggalah yang tua bangka sudah pasti tahu pasal angka satu. Seluruh dunia, tidak kiralah apa bahasa, bangsa dan negara pastinya ada satu angka bermakna satu.

Mulai dari angka satu maka bertambah lagi satu dan tambah lagi bagi menjadi angka-angka seterusnya. Tanpa angka satu, tiada angka-angka lain seterusnya menuju infiniti yang tak ketahuan titik noktahnya. Satulah satu-satunya yang satu... tiada dua atau berapa pun tanpa yang satu. Situlah satu permulaan...

Aku pun satu... satu-satunya aku yang satu ini. Tiada lain dari aku yang satu ini, begitu juga kau. Tiada satu lagi kau selain kau yang satu itu. Ada dan tiadanya aku atau kau tiada pengganti yang sama seperti diri seadanya.

Aku dan kau adalah dicipta oleh Yang Satu... Yang Maha Satu dan Dialah satu-satunya yang nombor satu. Bermula dari Satu ini terciptanya apa yang mahu olehNya. Dialah satu-satunya yang wajib ditumpukan, diingati, disebut, dipuja, dipuji, dituruti dan disembah. Maka satukan segala anggota dan minda agar bersatu dan sentiasa bersama Allah Yang Satu.

Ada lagi satu yang satu-satunya aku dan kau wajib ikuti sunnahnya untuk menjadi satu manusia beriman. Tiada rasul kecuali yang satu ini iaitu Rasulullah Nabi Muhamad SAW. Tiada apa yang tidak dilalui olehnya untuk aku dan kau contohi sebagai jalan hidup di dunia yang satu ini. Bayangkanlah satu dunia mentaati satu Tuhan dan satu Rasul...

Hanya dengan satu maka akan ada satu puluh, satu ratus, satu ribu, satu juta, satu bilion, satu trillion hingga infiniti yang boleh bersatu menjadi satu pasukan. Kaji semula hidup aku dan kau... dulu aku satu orang, setelah berpasangan hidup maka lahir anak menjadi satu keluarga. Bersama keluarga-keluarga lain di satu penempatan menjadi satu masyarakat. Dengan satu komuniti masyarakat pula membentuk satu negeri bersatu menjadi satu negara. Daripada bilangan satu sehingga menjadi ramai yang bersatu menjalani satu matlamat dan akhirnya bakal menemui Pencipta Yang Satu berseorangan.

Walau berapa banyak jumlah harta yang aku dan kau miliki akhirnya pasti akan pulang menemuiNya Yang Satu dengan 'satu helai satu pinggang' bersama satu iman. Bakal diadili di satu perhimpunan dengan satu timbangan serta menyeberangi di satu titian yang menentukan satu hukuman antara syurga atau neraka. Selagi aku dan kau yang ada hanya satu nyawa pilihannya juga satu iaitu antara nikmat syurga atau azab neraka.

Di satu kesempatan di penghujung Syawal ini... aku mohon kemaafan dari kau di sana andai ada menyinggung perasaan yang tak aku perasan di monolog ini. Apapun yang tercatat adalah terbit dari lubuk hati nurani terus menerus secara langsung. Hehehe... salam sejahtera untuk kau.

Ya Allah Yang Maha Esa, hanya pada Kau satu-satunya aku memohon keampunan.

Khamis, Oktober 08, 2009

aku dan disiplin...

Bila aku mengungkitkan masalah disiplin untuk sentiasa mengemaskini blog aku di ruangan sebelum ini, aku teringat akan tazkirah di bulan puasa lepas semasa mengerjakan tarawih di surau taman kediaman aku. Walaupun tak semua biji butir kata ustaz dapat aku catatkan tetapi kesimpulannya aku harap kau akan faham serta fikirkan tentang masa yang aku cuba kaitkan dengan disiplin, tu pun tak semua. Cuma yang mana aku ingat dan terlintas secara langsung tatkala mengetuk keyboard ni.

Disiplin masa. Mendisiplin masa solat terutamanya dan inilah yang utama dalam kehidupan aku dan kau sebagai hambaNya. Jika di bulan Ramadan aku dan kau begitu prihatin tentang waktu solat terutama waktu solat maghrib, diikuti waktu isyak dan tarawih berjemaah. Waktu solat yang lain bagai terabai walaupun tidak ditinggalkan. Bila tiba waktu maghrib aku dan kau pasti tahu dan peka akan detiknya, tepat. Kenapa di luar bulan Ramadan sering terlupa atau teragak-agak akan ketibaan waktunya.

Berjemaah solat isyak dan tarawih di surau beramai-ramai serta kadangkala disusuli pula tahlil serta tadarus. Semuanya terisi bagaikan sempurna untuk satu bulan yang mulia itu. Sedihnya bila beralih bulan seterusnya disiplin itu gagal diteruskan. Disiplin yang dibina dengan bersemangat di awal bulan selalu akan menurun grafnya di akhir bulan dan seterusnya hilang tenggelam bersama putaran masa sehinggalah tiba putaran seterusnya yang belum dijanjikan untuk aku dan kau menikmati semula dan mengulanginya.

Harap-harap nikmat waktu tidak aku dan kau abaikan... iaitu waktu senang, waktu lapang, waktu sihat, waktu muda dan waktu... waktu apa ye, kau fikirlah sendiri. Semoga selepas ini aku akan dapat mendisiplinkan masa untuk menghadapi masa depan. Kau dan aku punya masa yang sama iaitu 86400 detik sehari... yang membezakan aku dan kau hanyalah jangka hayat masa bila dijemput pulang sama ada cepat atau lambat.

Masa dan disiplin bagaikan... irama dan lagu atau isi dan kuku atau aur dan tebing. Terpisah ia maka pincanglah.

Ketemu lagi andai diizinkan masa... insyaAllah.

cover 366 # isu 15 Oktober 2009

Lama dah aku tak menulis. Memang disiplin aku tak macam kau... terpaksa dulukan yang utama sebelum buat kerja sambilan yang boleh aku ibaratkan memenuhi masa lapang. Bila masa dah tak lapang maka terhadlah keupayaan aku mengisi blog ini dan banyaklah idea atau kata-kata hati@monolog berlalu tanpa sempat dicatat. Kalau tak tercatat macam mana kau nak baca dan tahu... hanya aku dan Dia je yang tahu.

Wah... melalut pulak melampiaskan rasa hati. Sekurang-kurangnya aku berjaya mencatat monolog aku untuk kau. Okey la, ni la terbitan terbaru Majalah UJANG yang bakal berada di pasaran. Kau sambung la rutin membeli dan membaca demi sebuah hepi. Moga kau terasa puas dan dapat melegakan sedikit tensen lepas raya. Aku di sini seperti biasa terus menerus meneruskan hajat majikan untuk menerbitkan majalah ini setiap lima belas hari satu isu. Kengkadang... 'tensen itu melengkap sebuah kehidupan'. Tanpa tensen akal tak akan berfungsi untuk untuk menyelesaikannya. Bagi meredakan tensen... apa lagi, layanlah Majalah UJANG. Hehehe....