Rabu, Februari 10, 2010

aku ngan facebook...

Akhirnya aku mulakan juga create facebook sendiri. Atas desakan dan kutukan member terutama member sekolah dulu-dulu maka aku pun buatlah mukabuku aku atas dasar agar senang berhubung dengan diorang. Kemungkinan akan ada lagi member lama yang dah lama terputus hubungan mencari aku. Bukan aku tak mahu mencari diorang tapi disebabkan masa yang terhad kerana komitmen pada kerja dan keluarga. Memang masing-masing ada kerjaya dan keluarga tapi ianya tidak sama antara satu sama lain. Yang bertuahnya aku mempunyai rakan sebaya yang memahami aku, yang meyokong serta menghargai aku seadanya.

Tentang kenalan baru di talian mahupun di mana saja aku tetap menghargai usaha korang menambahkan aku menjadi penghuni mukabuku korang. Berkawan biar berjuta, berkasih jangan auta, berkenalan dengan siapa saja... mesra dan hormat wajib ada. Tak menang jari jemari bengkok aku nak melayan semua kenalan maka ada yang terketinggalan... itu bukan niat aku tak nak berkawan. Aku akan accept semua yang sudi menjelma di depan mukabuku aku, apatah lagi yang muncul di depan muka sendiri... akan aku cuba sedaya mampu untuk menjalinkan dan mengekalkannya... insyaAllah. Mujur wujud facebook... kalau face to face jenuh nak layan semua. Terima kasih pada teknologi yang memudahkan dan mempercepatkan urusan. Maka dengan itu secara tak langsung merangkai network lebih luas.


Cerita pasal mukabuku aku adalah mukadimahnya saja... sebenarnya aku nak promo facebook Majalah Ujang Moy. Bagi aku itu adalah penting sebab ianya melibatkan periuk nasi aku yang saban hari aku cuba mengisinya agar tidak berkerak. Kesimpulannya... korang layanlah facebook ujangmoy fan atau friend. Simpulkan lagi ikatan silaturrahim korang bersama kitorang dan renggangkan simpulan tensen korang... hehe.

Terima kasih semua.

cvr375 # 1 mac 2010

Cover yang agak pelik tapi bukan jelik... yang penting korang belek sebelum orang lain bawak balik. Korang boleh gelak goleh-golek tapi jangan dalam kolek nanti terbalik boleh lemas umur pendek. Buat lawak kitorang tak serik walau otak menggelegak bak disinari mentari terik. Itu la rezeki kitorang selagi tidak ditarik, selagi ada idea kitorang akan terus korek. Asalkan korang terus tertarik, kitorang kat sini akan senyum meleret-leret. Walaupun beban keje berat diseret sampai tercirit dan hati menjerit-jerit perit... yang penting korang hepi berderet-deret setiap kali isu terbit. Hehehee...

Khamis, Februari 04, 2010

cvr 374 # 15 Februari 2010

Rasa tak puas rilek hujung minggu dah kena siapkan cover lagi. Cepat tul masa menyondol-nyondol aku untuk siapkan cover ni. Dalam masa aku mengupload cover ni aku tengah buat untuk cover isu 375. Apa-apa pun ni la cover illustrasi oleh Jakalll yang menggambar hero beraksi bersama heroin yang melepak kat harta karun. Apa maknanya tu? Ahhh... malas aku nak terjemahkan, korang layan dan tafsirlah sendiri.

Yang penting korang dapatkan majalah ini dan layan demi sebuah kehepian sebelum menyambung semula keseriusan menjalankan tugas.... kendian diselangkan lagi ngan cerita klaka bila tensen menjelma. Begitu seterusnya menyulam hidup... seriusssss, klaka, serius, klakaaaa ka ka kah!

Isnin, Januari 18, 2010

cover 372 isu 15 Januari & cover 373 isu 1 Februari

Terkantoi deadline lagi untuk promo isu 15 Januari... tapi kali ini aku akan promokan sekali isu 1 Februari. Baru lepas bermonolog pasal kerja di bawah tadi... aku redha dan akan terus menjaga serta cuba memajukan tempat aku mengisi 'periuk nasi' agar dapur aku terus bergas.

Harap-harap perubahan dari yang tak baik kepada yang baik dan seterusnya bertingkat-tingkat baik menuju yang terbaik. Kalau berubah mestilah nak yang lebih baik dari yang baik, mana kau nak berubah dari baik jadi tak baik... baik jangan berubah. Nak buat baik pun kena baik-baik supaya yang baik jadi lebih baik dan terbaik.

Baiklah... baik aku teruskan bicara pasal cover kali ini. Untuk isu 15 Januari, kartunis Nik kembali menunjukkan skil melayan fiksyennya bersuasana di studio Majalah UJANG. Isu 1 Februari pula giliran kartunis Manggis melayan bluesnya... syahdu je karya mamat sorang ni. Harap-harap korang terus layan. Tak kira la di alam blues ke, rock ke, inang ke, joget ke... atau walau apa genre hakikatnya ia tetap alam kartun yang meneruskan inspirasi untuk terus hidup hepi. Apa guna badan sihat kalau hati tak hepi. Orang sakit pulak memang la tak rasa hepi tapi kalau diterapi dengan rasa hepi pasti hilang sepi dan rasa tak diketepi.

Tanpa hepi apa la guna hidup, tanpa hidup tak guna lagi dah hepi... hehehe... hepi!

aku ke mana...

Menempuh tahun 2010 membuatkan aku terfikir sambil buat kerja kerana tak sempat nak termenung bagi merenung penghujung jalan 2010 serta seterusnya melangkah ke tahun-tahun yang mendatang andai diizinkan Tuhan. Banyak cita di tahun lepas serta tahun lepas-lepas aku terbantut kerana desakan kerja tak pernah surut walaupun secara berulang mengejar deadline. Kerja tetap berterusan walaupun Guna Apa Yang Ada (GAYA) atau Pakai Apa Yang Ada (PAYA) membuatkan aku terus poyo bagai memandu kereta antik di lebuhraya empat lorong yang moden tapi sepanjang jalan hanya menggunakan lorong kiri menuju destinasi demi destinasi.

Ahhh... lupakan pasal teknologi selagi ada daya dan kemahuan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Yang penting, kerja boleh disiapkan dan cukup masa titik peluh aku berbayar. Ini pun masalah jugak... bukan aku tak bersyukur cuma peredaran masa menuntut sesuatu yang lebih besar dan ianya berterusan berkembang maka aku perlu mencari jalan lain agar tanggungjawab kepada keluarga aku tertanggung dan terjawab. Aku sedar ada insan lain yang lebih hebat ujiannya.

Apa-apa pun hidup mesti terus... terus mengabaikan masalah penghalang cita aku di tahun lalu dan terus mencari jalan agar cita aku menjadi realiti di tahun ini. InsyaAllah.

Di sini... di blog ini pada asalnya untuk aku berberbicara sendiri tapi kini lebih banyak menjadi tempat aku membicarakan produk kerjaya aku. Sememangnya ia berkaitan secara langsung dengan hidup aku dan menjadi tanggungjawab aku mempromosikannya. Satu cara aku membantu tempat aku cari makan untuk terus hidup dan maju. Mungkin satu hari nanti di tahun bertuah ini aku mampu mempromosi produk aku sendiri sambil terus bekerja selagi berdaya.

Kesimpulannya... peristiwa di tahun lepas dan tahun-tahun lalu hanya menjadi kenangan dan kenangan itu mungkin akan berulang lagi atau tahun ini akan mewujudkan kenangan yang lebih indah untuk di kenang pada tahun akan datang... wallahualam bishshawab. Aku tak boleh nak jawab sebab Kehidupan Adalah Satu Kemungkinan.

Rabu, Disember 30, 2009

cover 371 # isu 01 Januari 2010

Selamat Tahun Baru... selamatkan tahun baru, baru la selamat sepanjang tahun. Bagaimana korang selamatkannya itu terpulang kat korang. Harap kitorang dan korang sentiasa selamat pada tahun baru nanti... dua hari je lagi.

Di tahun baru ni kitorang bikin persembahan kulit depan yang baru. Stail baru untuk korang dari kitorang. Luar biasa dari biasa dan lain dari yang lain setelah lebih 25 tahun penerbitannya. Memang kitorang lain dari yang lain sebab kalau tak lain sudah tentu korang cari yang lain-lain. Selain lain dari yang lain kitorang cuba ketengah idea yang lain dari yang lain. Ada paham ka? Kalau tak berapa nak paham korang jangan layan majalah lawak lain selain Majalah UJANG.

Penampilan baru dengan warna luar biasa dari biasa yang berubah mengikut kesesuaian ilustrasi yang bakal dipersembahkan. Apa-apa pun korang biasa-biasakan la dengan stail baru agar jadi biasa.

'Tiada yang baru kalau tiada yang lama... tapi tak semestinya yang lama tak boleh kelihatan baru'. Sebagai pesanan dari kitorang... setiap kali menjelang tahun baru bukan bermakna bertambah usia sebenarnya semakin kurang usia menjelang ajal. Maka dengan itu tambah-tambahkan amal ibadat agar kuantiti hari yang mendatang bertambah kualiti. Semoga korang bahagia dan hepi di tahun 2010 pada setiap hari sepanjang 365 hari. Har! Har! Har!

Rabu, Disember 23, 2009

Selamat Tahun Baru 1431Hijrah dan 2010 Masihi

Putaran masa dalam kiraan tahun hijrah berulang lagi. Sedar atau tak sedar ramai orang Islam bersedia dan tak menyempat-nyempat untuk menyambut awal tahun masihi dari tahun hijrah yang dah pun terlepas pada 18 Disember lalu. Cuti tahun baru hijrah lepas aku ke kampung mertua di Jengka, Pahang sambil menghabiskan masa dengan anak isteri yang mana sepanjang tahun aku asyik sibuk bekerja dan juga nak mengurangkan baki cuti tahunan walaupun sedar akan akibatnya bila tertangguh mengerjakan kerja-kerja mengejar deadline. Hari ini aku mula kerja dengan beban seperti biasa tapi masa menyiapkannya semakin kurang. Ahhh... lantak la, aku pun ada hak untuk mencutikan diri macam kau.

Aku sebenarnya malas untuk bermonolog sebab menghadap kerja bertimbun selepas cuti tapi rasa malas nak mula kerja lebih hebat maka aku paksa juga mencoret sesuatu walaupun mungkin tak bermanfaat pun untuk kau. Tak kisahlah, yang kisahnya kisah dua sambutan tahun baru selang beberapa hari je selisihnya. Bagaimana aku dan kau menyambut dan mengisinya itu masing-masing punya selera. Aku rasa yang penting ialah bagaimana pengisian tahun-tahun baru yang akan datang disambut oleh generasi baru, generasi anak cucu kau dan aku. Generasi yang keramaiannya tak pernah rasa susah untuk mendapatkan sesuatu mengisi hidup. Tak kiralah dari soal kewangan, material atau komunikasi. Sumber kewangan makin mudah untuk memiliki kekayaan harta apabila perhubungan kini tiada sempadan mengakibat masa berlalu semakin pantas hingga terlupa akan sejarah yang menjadi teladan.

Sejarah akan berulang... kejadian lampau mungkin berlaku lagi walaupun keadaannya tak sama. Kalau dahulu sesebuah kerajaan runtuh kerana moral warganya, mungkin akan datang sesuatu ketuanan akan runtuh disebabkan akhlak bangsanya. Lalai dan lupa tentang sejarah dek kesenangan yang melimpah. Aku bukan ahli sejarah apatah lagi seorang cendikiawan, cuma aku adalah insan yang mungkin sama macam kau atau lebih rendah darjatnya.

Aku sekadar teringat akan kata-kata seorang panel sebuah forum di kaca TV menyatakan satu kajian tentang ketahanan sesebuah kerajaan yang terbina, terkenal dan akhirnya hancur atau berganti ketuanannya. Jangkamasa 100 hingga ke 150 tahun, bermula dengan perjuangan yang kesudahannya menang atau merdeka kemudian memasuki era pembangunan serta masyhur dan akhirnya... kau fikirlah sendiri. Selak dan singkap semula sejarah tentang kerajaan Rom, Saba', Andalusia, Pasai, Temasik, Kesultanan Melaka, Riau, Langkasuka atau Majapahit... beberapa kerajaan yang pernah wujud dan gah tapi akhir rebah dan lenyap menjadi sejarah. Sebenarnya aku sendiri tak berapa pasti berapa lama kerajaan-kerajaan ini wujud dan berakhir... yang penting kau kajilah kewujudannya dan penyebab kemusnahannya. Jika dibahagi jangkamasa itu ianya kurang lebih 40-50 tahun untuk berjuang oleh warga yang berusia 18-50 tahun dengan kudrat dan semangat kecintaan pada tanah air serta agama. 40-50 tahun yang kedua iaitu penggal menikmati pembangunan dan keselesaan oleh warga yang telah mencapai status veteran sambil melahir generasi kedua yang membesar bersama para pejuang yang sentiasa menyemai dan mengingatkan tentang sejarah dari pengalaman generasi pertama itu sendiri. Di penggal ketiga, keselesaan dan kemasyhuran menghanyutkan warganya dengan kemewahan hingga semangat cinta pada tanah air dan ketuanan menjadi renggang dan lompang yang memudahkan penjajah menyelinap. Warga penggal ketiga tidak membesar bersama pengukir sejarah dan keramaian para pejuang sudah tiada kerana meninggalkan nama di batu-batu bersurat. Nikmat dan penghayatan kemerdekaan semakin jauh kerana tiada perhubungan secara langsung antara generasi pertama dengan generasi ketiga. Sisa semangat pejuang hanya tertulis pada kertas atau dokumentari yang menjadi pusaka. Seandai terus dilupakan tidak mustahil khazanah pusaka menjadi puaka di suatu hari nanti.

Bayangkan 40 tahun sebelum merdeka, 50 tahun (2007) selepas merdeka dan 40-50 tahun lagi untuk generasi seterusnya melangsungkan ketuanan di tanah air bertuah ini... yakni anak, cucu, cicit, piut kau dan aku meneruskan budaya hidup. Sememangnya aku berserah pada takdir yang menentukan tapi kau pastinya boleh memikirkan langkah apa yang patut dilakukan agar legasi generasi pertama kepada generasi ketiga dan generasi seterusnya terikat kukuh. Yang pasti dunia pasti akan kiamat! Selagi belum tiba waktunya kiamat adalah tanggungjawab yang hidup meneruskan perjuangan pejuang yang telah mati agar sejarah gemilang tidak mati.

Mungkin harapan dan bayangan aku terlalu luas untuk kau berimaginasi. Apa kata hayatinya untuk organisasi yang lebih kecil yang mana kau atau aku mempunyai kelangsungan penglibatan yang lebih jelas... iaitu keluarga. Aku sendiri sedang memikirkannya untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan dengan mencari susur galur atau salasilahnya terdahulu. Bagaimana? Salah satu cara pastinya menggunakan saluran yang sedang aku buat ini. Bila? Sekarang, esok atau lusa, mungkin tulat... akhirnya berpusing lagi hingga ke noktah hujung tahun dan berputar lagi seterusnya. Alasan... sibuk. Ahhh... masa sentiasa bergerak tanpa menunggu aku atau kau.

Kerana monolog ini aku tertangguh lagi sehari untuk melayan timbunan kerja. Sebagai penutup layangan monolog ini... hati aku hanya mampu berkalimah, insya-Allah.

Khamis, Disember 03, 2009

cover 370 # isu 15 Disember 2009















Sori la tak sempat previu cover 369 yang bertemakan Raya Haji. Rasanya korang dah ataupun tengah melayannya. Sibuk sangat pasal korban maka terkorban previu untuk isu 1 hb Disember tu.

Untuk pengakhiran tahun 2009, cover Majalah UJANG 370#isu 15 Disember ini menggabungkan karektor-karektor kartun dan karikatur krew Majalah UJANG. Gabungan yang selama ini berganding tangan dan bahu mengusahakan penerbitan setiap setengah bulan sekali untuk para pembaca merasa nikmat hepi dan sukses. Selama setahun dengan 24 keluaran para krew dan kartunis memerah kepala otak mendapatkan idea hingga ke lelehan yang terakhir demi menghepikan pembaca. Terima kasih pada korang semua yang sentiasa memberi sokongan dan kritikan membina menjadikan majalah ini majalah lawak teratas di bumi Malaysia nan bertuah ini.

Untuk 2010 pastinya kitorang akan terus berkarya dan memberi yang termampu serta terbaik buat korang. Yang penting korang hepi, kitorang pun tak sepi.

Isnin, November 09, 2009

cover 368 # isu 15 November 2009

Ni cover terkini bertemakan cuti sekolah yang bakal dimanfaat pelajar sekolah yang tak terlibat dengan peperiksaan dua ratus seratus. Pada pelajar yang bakal menjalani peperiksaan diucapkan Selamat Berperiksa... lulus atau gagal dalam peperiksaan hanyalah sebuah keputusan, yang penting adalah ilmu yang ditimba atau dibaldi mestilah dicurahkan sebaiknya untuk menjalani kehidupan seterusnya dengan penuh berilmiah. Belum tentu keputusan cemerlang boleh membahagiakan hidup, begitu juga yang gagal tak semestinya tidak boleh berjaya dalam hidup.

Cuti sekolah sambil cuti-cuti Malaysia adalah pengisian masa yang boleh membahagiakan sebuah keluarga bahagia. Lengkapkan percutian korang tu dengan melayan majalah Ujang, tambahkan gelak tawa serta senyum riang bersama-sama untuk mengenyangkan dan menyenangkan minda. Hehehe... selamat bercuti.

Sebenarnya aku rasa terlalu sibuk kerja-kerja yang tak pernah putus apatah lagi bila nak sampai ke penghujung tahun. Aku banyak bermonolog pasal beban kerja, tempat kerja dan dikerjakan oleh kerja-kerja... menjadi dialog sesama rakan sekerja. Aku bagai hidup dalam lingkungan terhad yang majoriti masa lebih lama di tempat kerja dari mahligai sendiri bersama famili.

Terketiknya jemari aku di keyboard pepagi hari Isnin ni sebenarnya pasal kisah lain bukan mengenai beban kerja. Pasal perjalanan menuju pejabat dari U10 ke USJ... lima hari seminggu antara 6.30 ke 7.00 pagi. Jalan aman damai yang masih dikepit kehijauan hutan simpan bagai masuk ke trek lumba. Kebanyakan pemandu berlumba dengan nafsu sendiri mengejar sesuatu yang memang sudah pasti destinasinya... boleh dirancang dan dikendali dengan hemah dan akal. Pemotong kiri berkenderaan mewah atau biasa seadanya, diubahsuai atau standard yang kurang ajar sama ada jantan atau betina, berpenampilan bergaya atau alim berkopiah atau bertudung, yang berkolar biru atau putih... sememangnya aku biarkan ianya berlalu pergi umpama 'luncai dengan labunya' selagi tidak mengganggu lorong sah secara babi buta membawa malang. Babi yang buta pun tak buta hati macam tu walaupun segelintir pesalah itu berpendidikan sekuler atau agama yang tinggi (Tabiat babi berjalan ramai akan beratur dan tidak potong memotong antaranya). Bayangkan dan fikirkanlah dengan akal tentang ciptaan Tuhan pada binatang haram ini untuk manusia... yang buruk itu ada 'sesuatu' untuk aku dan kau pelajari. Pelajaran yang dituntut manusia kini hanya untuk sekeping kertas pengiktirafan status bukan untuk amalan sepanjang hayat yang dihayati iaitu kasih sayang sesama insan. Kepentingan diri lebih utama dari hak orang lain.

Pagi ini bukan pasal pemotong kiri yang mengejar nafsu sendiri tapi pasal pemotong kanan yang bukan lorong untuk memotong tapi.... memotong di lorong tambahan untuk kenderaan dari simpang kanan menyusuri masuk ke jalan utama. Tercabar kesabaran aku bila si pemotong yang sebelum itu diberi peluang memotong secara berhemah melampiaskan nafsunya cuba memotong di lorong salah yang menaiki bukit tanpa sebarang signal. Andaikata kenderaan yang sememangnya dari Bukit Jelutong ke Shah Alam sudah pasti deretan kenderaan dari Subang akan memberi laluan tapi Kancil yang tetiba muncul laju dari belakang dan mengekori aku sejak di Kayangan Height cuba memotong bagai babi buta dilorong yang salah dan menyusahkan aku dan pemandu lain. Aku terpaksa berhimpit dengan kenderaan sebelah kiri pula untuk memberi laluan pada pemandu babi buta itu. Aku cam nombor pendaftarannya WJ* 72 setengah, warna putih yang dipandu oleh pemandu yang pastinya berpelajaran... kalau tidak berpelajaran tinggi pun pasti pernah belajar memandu. Itu pun pelajaran juga... pelajaran yang berorientasikan peperiksaan semata-mata bukan untuk amalan hidup.

Tidak terfikir ke tentang hukum karma atau balasannya di hari akan datang. Sudah pasti apa yang kau beri akan kau dapat, beri yang baik pasti dibalas dengan yang baik berganda. Sakiti orang lain juga telah dijanjikan dengan balasannya. Pada yang pernah dan bakal disakiti di jalan raya ingatlah pada Tuhan bukan berdendam... wujudkan Tuhan dalam hidup kerana yang menyakitkan itu kerana mereka terlupa pada Tuhan seketika.

Kesimpulannya aku bukan nak simpulkan lagi hidup aku dan kau yang sememangnya bersimpul-simpul. Leraikanlah simpulan-simpulan kehidupan ini dengan cermat dan sabar bukan kelam kabut serta gelojoh... dikhuatiri akan bertambah ketat simpulannya.