Isnin, Januari 18, 2010

cover 372 isu 15 Januari & cover 373 isu 1 Februari

Terkantoi deadline lagi untuk promo isu 15 Januari... tapi kali ini aku akan promokan sekali isu 1 Februari. Baru lepas bermonolog pasal kerja di bawah tadi... aku redha dan akan terus menjaga serta cuba memajukan tempat aku mengisi 'periuk nasi' agar dapur aku terus bergas.

Harap-harap perubahan dari yang tak baik kepada yang baik dan seterusnya bertingkat-tingkat baik menuju yang terbaik. Kalau berubah mestilah nak yang lebih baik dari yang baik, mana kau nak berubah dari baik jadi tak baik... baik jangan berubah. Nak buat baik pun kena baik-baik supaya yang baik jadi lebih baik dan terbaik.

Baiklah... baik aku teruskan bicara pasal cover kali ini. Untuk isu 15 Januari, kartunis Nik kembali menunjukkan skil melayan fiksyennya bersuasana di studio Majalah UJANG. Isu 1 Februari pula giliran kartunis Manggis melayan bluesnya... syahdu je karya mamat sorang ni. Harap-harap korang terus layan. Tak kira la di alam blues ke, rock ke, inang ke, joget ke... atau walau apa genre hakikatnya ia tetap alam kartun yang meneruskan inspirasi untuk terus hidup hepi. Apa guna badan sihat kalau hati tak hepi. Orang sakit pulak memang la tak rasa hepi tapi kalau diterapi dengan rasa hepi pasti hilang sepi dan rasa tak diketepi.

Tanpa hepi apa la guna hidup, tanpa hidup tak guna lagi dah hepi... hehehe... hepi!

aku ke mana...

Menempuh tahun 2010 membuatkan aku terfikir sambil buat kerja kerana tak sempat nak termenung bagi merenung penghujung jalan 2010 serta seterusnya melangkah ke tahun-tahun yang mendatang andai diizinkan Tuhan. Banyak cita di tahun lepas serta tahun lepas-lepas aku terbantut kerana desakan kerja tak pernah surut walaupun secara berulang mengejar deadline. Kerja tetap berterusan walaupun Guna Apa Yang Ada (GAYA) atau Pakai Apa Yang Ada (PAYA) membuatkan aku terus poyo bagai memandu kereta antik di lebuhraya empat lorong yang moden tapi sepanjang jalan hanya menggunakan lorong kiri menuju destinasi demi destinasi.

Ahhh... lupakan pasal teknologi selagi ada daya dan kemahuan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Yang penting, kerja boleh disiapkan dan cukup masa titik peluh aku berbayar. Ini pun masalah jugak... bukan aku tak bersyukur cuma peredaran masa menuntut sesuatu yang lebih besar dan ianya berterusan berkembang maka aku perlu mencari jalan lain agar tanggungjawab kepada keluarga aku tertanggung dan terjawab. Aku sedar ada insan lain yang lebih hebat ujiannya.

Apa-apa pun hidup mesti terus... terus mengabaikan masalah penghalang cita aku di tahun lalu dan terus mencari jalan agar cita aku menjadi realiti di tahun ini. InsyaAllah.

Di sini... di blog ini pada asalnya untuk aku berberbicara sendiri tapi kini lebih banyak menjadi tempat aku membicarakan produk kerjaya aku. Sememangnya ia berkaitan secara langsung dengan hidup aku dan menjadi tanggungjawab aku mempromosikannya. Satu cara aku membantu tempat aku cari makan untuk terus hidup dan maju. Mungkin satu hari nanti di tahun bertuah ini aku mampu mempromosi produk aku sendiri sambil terus bekerja selagi berdaya.

Kesimpulannya... peristiwa di tahun lepas dan tahun-tahun lalu hanya menjadi kenangan dan kenangan itu mungkin akan berulang lagi atau tahun ini akan mewujudkan kenangan yang lebih indah untuk di kenang pada tahun akan datang... wallahualam bishshawab. Aku tak boleh nak jawab sebab Kehidupan Adalah Satu Kemungkinan.