Rabu, November 09, 2011

cover 417 # isu 01.12.2011 - Maharaja Bumper

Salam sejahtera.


Moga kalian semua sihat dan dalam lindunganNYA sentiasa, insyaAllah. Nampak dah semakin kerap aku mengabaikan halaman blog ini terbiar... hanya melintas, lalu-lalang ulang-alik tak ambik endah lantas tak mengindahkannya. Maaf, kerana kesibukan tugas yang melekakan demi periuk nasi... itulah pilihan yang aku ada. Kini di hari ini aku berkesempatan menyentuh laman ini... insyaAllah di masa akan datang aku akan tetap terus melaman di halaman ini.

Tak lain tak bukan dan bukan yang bukan-bukan laman ini berkisah tentang kerja... sama ada kerja rasmi atau tidak, selagi bernyawa selagi itulah aku (kau) mesti bekerja... kerja lagi dan lagi-lagi kerja.


Di masa senggang sementara menyambung tugasan untuk isu baru, aku nak ngomel tentang tugas yang baru usai... UJANG MAHARAJA BUMPER. Mengandungi 320 muka surat bersamaan 20 section setebal 14 mm (kurang lebih setengah inci). 8 section atau 128 muka surat warna dan 12 section atau 192 muka surat hitam putih bakal membeliakkan biji mata menatapnya. 19 individu melampias karya bagi mengisi 1 section seorang... salah seorangnya aku. Di section 13 yang hitam putih bertajuk 'Grafiktivity' yang membawa maksud 'aktiviti grafik' sepanjang aku mula bekerjaya di sana, di situ, di sinun hingga kini di sini.


Seperti biasa individu yang memonopoli muka depan semestinya muka Pak Cik Din yang berlagak bak maharaja. Cet! Disebabkan atas titah perintah dialah maka aku dan teman lain bertungkus-lumus menyiapkan isu kali ini dengan penuh siksa. Sebagai menghormati orang tua kutuk tu aku tabah dan sabarkan diri melayan serta melaksanakan kerja. Alhamdulillah... beres sebelum deadline memintas di garisan maut. Kini di hari ini aku lega, redha dan reda menanti tugasan selanjutnya.


Harap kau layanlah BUMPER MAHARAJA bagaikan raja dan jadikannya milik kau sorang. Hakikatnya aku dan kau lah raja apabila memiliki satu kepuasan. Raja terletak di hati memasing, pepandailah memerintahnya. Penghabisan kata... moga kalian sejahtera selalu.

Rabu, September 14, 2011

cvr413#isu 01 Oktober 2011

Salam alam...


Hadir kembali tentang promosi cover Majalah UJANG yang bakal terbit atau senang cakap naskah tugasan yang telah aku bereskan dan kini di peringkat percetakan. Lega... release tension untuk sementara waktu. Lepas ni nak sambung tugasan baru untuk isu 414 # 15 Oktober... menyambung tension, siap nanti rilek kejap... pastu sambung lagi dan sambung dan lagi dan lagi... selagi diizinkan NYA. InsyaAllah.


Ye lah, begitulah rutin aku menjalani kerjaya untuk hidup. Takdir bukan satu pilihan, hidup mesti terus! Sebenarnya aku nak berkarya (madah iklan) tika mempromosi majalah ni sebagaimana iklan di majalah APO? yang lepas-lepas dan kemudian dilayarkan kat blog, selain mencoret-carut di sini... tapi apa kan daya peluang aku terhad walaupun aku tak minta dibayar. Apabila bos nak yang ringkas dan mudah serta baru, aku menurut saja. Memanglah kurang beban nak perah idea menulis kata tapi itulah yang membuatkan aku rasa terlepas dari satu genggaman kerja... bak penutup satu-satu isu sebelum meneruskan keluaran baru. Di mana lantai dipijak, di situ bumbung aku junjung!


Memang boleh berkarya di sini tapi perasaannya berbeza tika dihimpit deadline majalah. Di sini bila-bila masa atas kehendak sendiri aku boleh postkan, sering dilengah bila dah lenguh buat kerja. Mungkin aku boleh usahakan agar gaya dan idea sentiasa berhasil... insyaAllah.


Pasal cover kali ni aku rasa malas nak potpet-potpet... korang terjemahkanlah sendiri ngikut kewarasan kepala hotak korang. Sekeping gambar menghasilkan seribu perkataan... silakan.

Selasa, Ogos 23, 2011

Alahaiii...

Melepasi dua bulan aku tak mengomel kat sini. Tak lain dan tak bukan disebabkan tugas yang melambak-lambak cam pasar lambak yang sibuk melambakkan jualan hari raya. Sebenarnya banyak yang datang melintas kat laluan minda sesambil dikejar deadline untuk sajian pose, raya dan lepas raya. Memang bila nampak bumper pose ngan raya terbayang ketebalan mukasuratnya dan secara otomatik tebal juga la keje kena buat (ganjarannya ntah tebal ntah kan tidak - bukan nipis ye... sesilap tidak ada). Sangkaan yang tak terduga cuma bumper je menyesakkan saraf pernafasan tapi sebenarnya kene pikirkan jugak isu lepas raya... kalau tak, cuti raye sungguh tak menyelesakan - rimas. Nak tak nak terpaksa la aku pulak kejar deadline. Hehehe... padan muka! Muka sapa ek?

Hari ni aku nak lepaskan ketagih bermonolog di blog ni setelah sekian lama. Terasa makin hilang ketagih atau kemaruk nak mengomel. Kena layan sesikit moga ketagih ni datang balik... dan dapat melepaskan atau melempiaskan tensen. Sementara dah siap satu isu lepas raya... aku nak meroyan membebel kat sini sebelum menyetat isu satu lagi agar raya ala kadar aku bermakna tahun ni.

Cabaran mengisi blog ni selain kesibukan, kemalasan, kekeringan (idea &bahan)... adalah kerana wujudnya facebook atau laman sosial yang kalau disalahguna pasti akan mengundang sial. Maka dengan itu aku cuba sedaya upaya memanipulasikannya sebaik mungkin agar ianya bermanfaat. Paling ketara keberkesanan dan jasanya kepada pengamal facebook ialah tempat pertemuan dengan kengkawan lama yang dah lama, lama sangat atau terlalu lama tak bersua muka. Walau sukar berjumpa secara face to face atau bertentangan muka maka kat 'mukabuku' la jadi halaman untuk bertemu, beritahu serta amik tahu hal sesama bersama-sama.

Sama ada mencari atau dicari, terjumpa atau berjumpa, dikenali atau dikenalkan... pertemuan semula atau pertemuan baru dan pertemuan akan datang di dunia facebook ni pasti menjadi kenangan. Kewujudan dunia alam maya pasti berfaedah bila ia menjadi media mendekatkan yang jauh, menghimpun yang berselerak, menyatukan yang ramai, menyambung yang putus, mengingatkan yang lupa... dan menjadi sebaliknya kalau ianya menjadi tempayan yang mulutnya tak bertutup... yakni alat penyebar, penghebah atau pengheboh yang tak bersempadan dan halangan pada penghuni dunia alam maya.

Sesama kenalan, saudara-mara, kengkawan, sahabat atau adik-beradik hakikatnya akan semakin jauh kalau terlalu mengharap kegunaan dunia baru alam maya ni sebagai penghubung. Di harap dunia baru tidak menghentikan amalan berziarah di alam nyata yang zahir... kembali semula ke tamadun kekampungan. Pertemuan dan sentuhan (yang beradab ek) sesama lebih mengeratkan serta mengesankan di kalbu untuk di bawa pulang dan dikenang. Moga segala usaha murni di kalangan korang sesama ahli facebook atas dasar kekeluargaan, sanak-saudara, sahabat handai, rakan taulan terutama kengkawan lama aku untuk merealisasikan sesi pertemuan alam zahir dimakbulkan serta diberkati, insyaAllah...

Selasa, Jun 21, 2011

Belasungkawa Qayyum

Nama sebenarnya Rashdan Abdul Rahim berusia 41 tahun berasal dari
Raub, Pahang. Aku mengenalinya ketika mula bekerja di MOY di USJ 9
Taipan pada tahun 1998. Waktu itu sesama terlibat dalam
penggambaran 'UJANG siri TV lah pulak' arahan Aznil Nawawi yang
melakarkan pengalaman meriah dalam hidup. Kerja kitorang
di sebalik tabir penerbitan majalah saling berkait kerana jawatannya
sebagai editor dan aku artis grafik memerlukan kerjasama untuk
menyempurnakan tugasan. Tanpa dia kerja memproof dan mengedit
teks akan kantoi. Segala manuskrip dan karya kartun sebelum dan
selepas digrafik akan dipantau beliau untuk aku membuat pembetulan
sebelum dihantar cetak. Walaupun tugasan itu bagai remeh dan boleh
dilaksanakan oleh aku sendiri atau ketua editor tapi tanpa sentuhan
suntingannya dengan ayat-ayat kelakar gerenti menyuramkan
seri lawak Majalah UJANG. Banyak artikel darinya yang menyumbang
kepada gelak tawa dan ceria kitorang dan pembaca... andai takde
sumbangan darinya bagaikan sumbang kandungan Majalah UJANG.














Foto terakhir yang aku ambil ketika kenduri Majalah APO?
ke 300. Beliau bersama kartunis Bawang yang senegeri
dengannya.

Karekternya yang lebih banyak menyimpan suara dan selalu
menyendiri menyudahkan kerja dalam serba kekurangan. Aku
nampak minatnya pada bola sepak walaupun kurang bercerita
tentang perkembangan bola sepak semasa tapi ketrampilannya
di opis yang sentiasa berpakaian jersey bola sepak berbagai
pasukan negara atau kelab secara tak langsung menterjemahkan
kecintaan beliau pada bola sepak. Pasal kerja, beliau sanggup ke
pusat siber menyiapkan tugasan tanpa keluhan walaupun pernah
terlajak dateline serta mendatangkan 'hangin' yang menunggu
karyanya, dia tetap dengan caranya yang tersendiri dan suka
menyendiri. Bagi kitorang yang faham dan lali dengan peelnya
pasti sejuk bila sesekali dia bersuara menyampuk dan berkelakar.
Banyak yang aku belajar tentang penggunaan bahasa penulisan
terutama pasal ejaan dan nahu.

















Qayyum berdiri paling kiri... hasil manipulated poster yang aku
buat sempena keluaran Hari Merdeka (tahun tak ingat).

Terlalu banyak kenangan selama lebih 12 tahun bekerjasama
dengan beliau untuk diingati dan diluahkan di sini. Pada aku
kehadiran beliau dalam kerjaya aku umpama pelengkap untuk
kitorang melaksanakan tugasan harian dalam menerbitkan
Majalah UJANG saban dua minggu. Kepergiannya terasa pincang
dan tempang menjalani tugasan harian. Aku doakan semoga
rohnya bersama orang-orang beriman dan bertakwa, amin.

Terima kasih teman.
Kepergiaanmu tiada pengganti kerana... kau adalah kau.

Ahad, Mei 15, 2011

isu 404 # 15 Mei 2011

Pergh! Bergetah... memang ianya sentiasa bergetah dan buat korang melatah. Harap-harap begitulah hendaknya di setiap keluaran mendatang. Nak menghasilkan lawak bergetah sudah pasti membuatkan kepala hotak kitorang melantun-lantun umpama getah sekerap. Diharap kitorang selalu dekat ngan korang dan sentiasa melekit-melekat di hati korang.

Sebagaimana diorang (kartunis) kepala hotak aku juga melantun-lantun menyiapkan tugasan akhir sebelum fasa percetakan. Semuanya bertimbun untuk diselesaikan sebelum melintas deadline. Apa-apa hal pun semua tertumpu kat bilik grafik... selain menyemak semula semua helaian muka surat, aku terpaksa juga melantunkan idea untuk iklan ini. Memikir dan melahirkannya membuatkan aku rasa puas... bagaikan sebuah penutup untuk setiap isu. Ohhh... dengan itu juga ia menandakan satu lagi sinambungan beban kerja bakal bermula. Arghhhh!!! Hahaha....

Selasa, Mei 03, 2011

cover 403 # 1 Mei 2011

Selamat Hari Pekerja kepada semua yang berkerjaya khasnya dan semua isi alam yang sentiasa buat kerja. Pada yang buat kerja baik, teruskanlah berusaha dan pada yang buat kerja tak baik (maksiat, jenayah & sia-sia) usahlah usahakan kerja tu. Kitorang kat sini akan sentiasa berusaha dalam kerjaya yang telah sedia ada terbentang di depan mata yang buntang agar terus berkembang dan menuju matlamatnya. InsyaAllah.

Kat sini aku nak ubah pulak persembahan yang aku kerjakan. Selalunya korang menatap cover setiap isu tapi kali ini aku persembahankan iklan cover setiap isu Majalah UJANG yang tersiar di majalah saingan di bawah bumbung yang sama iaitu Majalah APO?. Penat aku mengerjakan kepala otak sendiri memikirkan kata-kata keramat (chewah!) demi melariskan jualan majalah. Maka dengan itu adalah lebih best kalau aku mengembangkan hasil kerja aku tu di laman monolog aku sendiri. Hehe... ada jugak sedikit sebanyak pengembangan kerja aku (dan lubang hidung aku). Hehehe lagi!

Yang penting bagi aku adalah kepuasan bekerja dalam berkarya dan karya itu pulak bekerja... (penghayat karya kena berfikir). Bekerjalah seikhlas mungkin kerana setiap kerja itu adalah ibadah... dan lakukanlah kerja tanpa melalaikan ibadat.

Isnin, April 18, 2011

cover 402 # 15 April 2011

Teruskan... teruskan la melayan majalah Lawak Antarabangsa ni walau apa pun keadaan. Tak kisah la di mana korang berada... lebih-lebih lagi di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC KL yang bakal diadakan pada 22 April hingga 01 Mei. Jangan tak pergi ke gerai kitorang kalau korang terbabas ke PWTC nanti. Tak kira apa buku pun yang korang cari, adalah tak menjadi kesalahan kalau korang layan sama majalah lawak untuk penawar stres. Aku nyatakan ni bukan setakat nak promosi tapi hakikatnya memang telah diakui bahawasanya senyum dan tawa itu penawar terbaik untuk stres serta awet muda terutamanya untuk awek-awek. Hehe! Tak caya tanya Pak Cik Din.

Okay la, akhir kata... membaca adalah satu cara menambah pengalaman. Membaca dan hayatinya selagi masih ada hayat sebelum kita dibacakan (talkin).

Isnin, April 04, 2011

cover 401 # isu 1april 2011

Terlanjur lagi... bukan april fool, takde fool-fool pun. Takde maknanya nak mengefoolkan orang. Yang pasti aku selalu terlambat mengupdate blog aku ni. Tak berani berjanji untuk memenuhi deadline aku sendiri kerana ada kerja lain yang lebih penting dari kepentingan diri sendiri di sini. Di sana, di situ, di sinun... kena setelkan dulu. Melunaskan ruangan aku sendiri ini pun aku memaksakan diri agar tak terlanjur jauh ke laut. Banyak monolog aku hanyut menyendiri bersama masa yang dilalui, nak aku genggam tak upaya kerana ia melintas tanpa diundang dan perginya tak pernah aku pinta. Mungkin tidak ada jodoh untuk dikongsi bersama kau di ruang sempit ini. Ahhh... aku bermonolog rupanya tanpa disedari.

Okeylah, berbalik di titik asal... cover tentang orang tua yang tempang tentang fenomena jenayah sekarang yang semakin berluasa tak mengira mangsa, masa dan lokasi. Maka berhati-hatilah walau di mana kau berada waima di dalam rumah sendiri juga belum tentu selamat. Hanya dengan kalimah Bismillah dan doa di setiap permulaan menyakinkan diri akan selamat... segalanya dengan ketentuanNYA.

Isnin, Mac 14, 2011

cover 400 # isu 15 Mac 2011

Tup-tup kena buat bumper isu sempena keluaran ke 400. Pergh! Berpeluh dua belah ketiak aku mengerjakan kerja sebelum dikerjakan dek bos. Dalam masa sepuluh hari kena bereskan kerja sebelum bertolak ke Kenyir untuk sesi penggambaran bumper raya. Nak tak nak, kena nak jugak... hehe. Akhirnya... dapat dibereskan mendahului deadline, maka aku serta ahli grafik yang lain khasnya dan kartunis Majalah UJANG amnya dapat berehat ngan tenang dalam resah di Tasik Kenyir selama 4 hari 3 malam. Tenang tanpa gangguan telekomukasi dan kenyamanan sekitarnya, resah beremosi bila sesekali terlintas kat kepala hotak pasal keluarga yang ditinggalkan tak dapat dihubungi dan kerja yang setia menanti tatkala tamat santai.

Kerja mesti terus demi menjalani hidup... kepulangan aku disambut meriah oleh kerja-kerja yang bertimbun. Waktu ini aku masih terkial-kial nak menghabiskan isu 401... pastu 402, 403, 404 dan seterusnya ntah di mana penghujungnya. Aku redha dan berserah pada Yang Esa. Selagi majikan berselera menagihkan tenaga aku maka selagi itu aku akan terus setia menanggung dan menjawab amanah aku ini. InsyaAllah.

Isnin, Mac 07, 2011

cover 399 # isu 1 Mac 2011

Lewat lagi... itu la sering berlaku kat aku. Bukan sesaja tapi ada dateline lain yang lebih utama perlu dibereskan. Lagipun kolum aku ni bukan ketat sangat deadlinenya, semua atas kesukar-relaan aku untuk mempromosikannya. Suka dan sukar serta rela demi menjamin pendapatan berterusan. Ahh... nak cerita lelebih pun korang bukannya faham... semuanya bermonolog dalam hati je, yang tak relevan untuk aku luahkan. Sebenarnya kelambatan ini kerana mengejar dealine bumper spesel isu 400 # 15 Mac yang perlu dibereskan sebelum aku dan krew UJANG ke Tasik Kenyir. Balik je dari xpdc tu grenti kena pulun pulak isu seterusnya agar tak dikejar printer. Hahahaaa... duiiii....

Sekarang ni kisah cover fantasi orang tua kutuk ni yang menumpang Otromen konon terbang keliling dunia. Perghhh... diterjemahkan fantasi dalam lukisan memang la best. Secara tak langsung kitorang pun terfantasi andainya majalah ini terbang jauh ke seluruh dunia. Pasti kitorang mendapat laba... Haduiii, jauh betul fantasi yang tak betul.

Apa yang penting kitorang akan sentiasa kerja betul-betul untuk korang rasa betul-betul hepi. Betul ke?

Ahad, Februari 13, 2011

cover 398 # isu 15hb Februari 2011

Isu yang terbit pada 15 hari bulan kali ni bersamaan tarikh masihi kelahiran Nabi Muhamad SAW. Majalah ini memang takde kena mengena secara langsung dengan kisah nabi apatah lagi tentang kehidupan atau sejarah baginda. Kandungan cerita lawak jenaka yang terselit kebaikan korang iringi dan rujuklah pada sunnahnya, jika ada cerita yang kelakar tapi tak manis jadikan teladan dan kembalilah pada syariat kehidupan sebetulnya. Korang mesti secara tak langsung terkenangkan Tok Putih yang dah lama menghilang. Beliau sebenarnya tak hilang cuma berehat mencari ketenangan, harap-harap kemunculan beliau kelak akan memberikan kisah yang lebih best untuk direnung dan dimenungkan. InsyaAllah...

Cover kali ni ada elemen seram sikit tentang kisah tahyul. Sama ada untuk dipercaya atau tidak itu persepsi memasing. Alam ghaib memang ada... makhluk jin, iblis, hantu, setan, jembalang, puaka atau banyak lagi istilah seangkatannya. Nak cerita panjang hal ni pun dah rasa tak sedap hati apa lagi nak mengata hal diorang. Kat sini aku cuma nak ceritakan adegan cover yang menggambarkan kisah mistik dulu-dulu tentang keberanian berinteraksi dengan makhluk alam ghaib. Eiii... seram, berdiri bulu roma kat tengkuk. Nak tau lebih lanjut korang tanya orang-orang lama tahap atuk nenek atau moyang korang... ngan orang tua si Pak Cik Din jangan ditanya, hampeh jo jawapan beliau.

Apa-apapun yang realnya korang amalkanlah sunnah nabi dalam hidup dan jangan difikir kisah-kisah seram apatah lagi berunsur tahyul. Walaupun sekarang ni banyak tayangan kisah seram di sekeliling korang sama ada karya tempatan atau luar negara janganlah terpengaruh dan kalau nak selamat di dunia serta di akhirat amalkan dalam kehidupan berpandukan al-Quran dan Hadis. InsyaAllah.

Rabu, Januari 19, 2011

cover 397 # keluaran 1 Februari 2011

Wow! Apa yang wow? Wow la bila Pak Cik Din yang tua kerepot ada hati dok usha awek orang... berani tu. PCD tunjuk kegentlemannya dengan bahasa berbunga-bunga mengayat awek sambil memberi sejambak bunga. Pompuan ngan bunga memang sinonim dan tak boleh dipisahkan. Di mana ada bunga, di situ ada pompuan dan begitu jugak sebaliknya. Bunga lambang kecantikan dan keharuman walaupun ada bunga itu tak berbau tapi cantik dipandang, kebanyakan bunga ada haruman tersendiri walaupun kadangkala rupa bunga itu tak menggoda. Berbagai perumpamaan melibatkan bunga yang dikiaskan kepada manusia sama ada perempuan atau lelaki.

Tak kisahlah walau apa pun kisah tentang bunga... yang pasti mekar harumnya tak kekal selamanya. Begitu juga kau dan aku... semoga terpelihara rupa paras, akhlak, iman agar sentiasa mengharum bak bunga walau di mana jua berada pada setiap masa. Jadilah hiasan yang menyeri dan menyamankan suasana serta mendamaikan pemandangan oleh sesiapa yang melihat... yakni bermanfaat kepada yang lain bukan menjadi pujaan. Sesungguhnya pujian hanya untukNYA. Alhamdulillah...

Khamis, Januari 06, 2011

cover396#isu 15 Januari 2011

Ketemu lagi selagi aku diberi ruang masa, ruang tempat dan juga ruang kesihatan untuk menulis kat sini. Aku akan terus mempromosi seperti selalunya walau bukan satu tugas yang diwajibkan tapi menjadi kewajiban aku untuk memberitahu kau tentang perkembangan produk tempat aku cari makan. Lain orang lain cara cari makan... ada yang terlebih makan, cukup-cukup makan atau tak cukup makan. Pokoknya nak cari makan jangan sampai 'makan orang'... sama ada makan kawan atau makan lawan. Aiseymen... apsal aku melalut pasal makan lak ni? Makan memang best tapi sebab makan juga boleh jadi tak best.

Okeylah, sesambil makan pun boleh layan majalah ni. Paparan Mat Despatch naik hangin bila Pak Cik Din menunggang motor cari makan dia sambil dibonceng kambing dan ditertawakan bosnya. Macam-macam boleh jadi untuk mencari makan asalkan boleh makan. Ada yang sanggup jadi kawan makan kawan bagi meneruskan hidup walau pernah makan sepinggan, minum secawan. Ada juga yang sanggup makan suap kerana nak hidup mewah dan selalu makan angin. Yang penting kau dan aku jaga makan sebelum dimakan.

Kalau lapar perut makanlah nasik, lapar iman makanlah ibadah, lapar pengetahuan makanlah ilmu, kalau lapar hepi makanlah lawak. Hehehe.... satu lagi, kalau laparkan pengalaman teruskanlah hidup.