Rabu, Disember 30, 2009

cover 371 # isu 01 Januari 2010

Selamat Tahun Baru... selamatkan tahun baru, baru la selamat sepanjang tahun. Bagaimana korang selamatkannya itu terpulang kat korang. Harap kitorang dan korang sentiasa selamat pada tahun baru nanti... dua hari je lagi.

Di tahun baru ni kitorang bikin persembahan kulit depan yang baru. Stail baru untuk korang dari kitorang. Luar biasa dari biasa dan lain dari yang lain setelah lebih 25 tahun penerbitannya. Memang kitorang lain dari yang lain sebab kalau tak lain sudah tentu korang cari yang lain-lain. Selain lain dari yang lain kitorang cuba ketengah idea yang lain dari yang lain. Ada paham ka? Kalau tak berapa nak paham korang jangan layan majalah lawak lain selain Majalah UJANG.

Penampilan baru dengan warna luar biasa dari biasa yang berubah mengikut kesesuaian ilustrasi yang bakal dipersembahkan. Apa-apa pun korang biasa-biasakan la dengan stail baru agar jadi biasa.

'Tiada yang baru kalau tiada yang lama... tapi tak semestinya yang lama tak boleh kelihatan baru'. Sebagai pesanan dari kitorang... setiap kali menjelang tahun baru bukan bermakna bertambah usia sebenarnya semakin kurang usia menjelang ajal. Maka dengan itu tambah-tambahkan amal ibadat agar kuantiti hari yang mendatang bertambah kualiti. Semoga korang bahagia dan hepi di tahun 2010 pada setiap hari sepanjang 365 hari. Har! Har! Har!

Rabu, Disember 23, 2009

Selamat Tahun Baru 1431Hijrah dan 2010 Masihi

Putaran masa dalam kiraan tahun hijrah berulang lagi. Sedar atau tak sedar ramai orang Islam bersedia dan tak menyempat-nyempat untuk menyambut awal tahun masihi dari tahun hijrah yang dah pun terlepas pada 18 Disember lalu. Cuti tahun baru hijrah lepas aku ke kampung mertua di Jengka, Pahang sambil menghabiskan masa dengan anak isteri yang mana sepanjang tahun aku asyik sibuk bekerja dan juga nak mengurangkan baki cuti tahunan walaupun sedar akan akibatnya bila tertangguh mengerjakan kerja-kerja mengejar deadline. Hari ini aku mula kerja dengan beban seperti biasa tapi masa menyiapkannya semakin kurang. Ahhh... lantak la, aku pun ada hak untuk mencutikan diri macam kau.

Aku sebenarnya malas untuk bermonolog sebab menghadap kerja bertimbun selepas cuti tapi rasa malas nak mula kerja lebih hebat maka aku paksa juga mencoret sesuatu walaupun mungkin tak bermanfaat pun untuk kau. Tak kisahlah, yang kisahnya kisah dua sambutan tahun baru selang beberapa hari je selisihnya. Bagaimana aku dan kau menyambut dan mengisinya itu masing-masing punya selera. Aku rasa yang penting ialah bagaimana pengisian tahun-tahun baru yang akan datang disambut oleh generasi baru, generasi anak cucu kau dan aku. Generasi yang keramaiannya tak pernah rasa susah untuk mendapatkan sesuatu mengisi hidup. Tak kiralah dari soal kewangan, material atau komunikasi. Sumber kewangan makin mudah untuk memiliki kekayaan harta apabila perhubungan kini tiada sempadan mengakibat masa berlalu semakin pantas hingga terlupa akan sejarah yang menjadi teladan.

Sejarah akan berulang... kejadian lampau mungkin berlaku lagi walaupun keadaannya tak sama. Kalau dahulu sesebuah kerajaan runtuh kerana moral warganya, mungkin akan datang sesuatu ketuanan akan runtuh disebabkan akhlak bangsanya. Lalai dan lupa tentang sejarah dek kesenangan yang melimpah. Aku bukan ahli sejarah apatah lagi seorang cendikiawan, cuma aku adalah insan yang mungkin sama macam kau atau lebih rendah darjatnya.

Aku sekadar teringat akan kata-kata seorang panel sebuah forum di kaca TV menyatakan satu kajian tentang ketahanan sesebuah kerajaan yang terbina, terkenal dan akhirnya hancur atau berganti ketuanannya. Jangkamasa 100 hingga ke 150 tahun, bermula dengan perjuangan yang kesudahannya menang atau merdeka kemudian memasuki era pembangunan serta masyhur dan akhirnya... kau fikirlah sendiri. Selak dan singkap semula sejarah tentang kerajaan Rom, Saba', Andalusia, Pasai, Temasik, Kesultanan Melaka, Riau, Langkasuka atau Majapahit... beberapa kerajaan yang pernah wujud dan gah tapi akhir rebah dan lenyap menjadi sejarah. Sebenarnya aku sendiri tak berapa pasti berapa lama kerajaan-kerajaan ini wujud dan berakhir... yang penting kau kajilah kewujudannya dan penyebab kemusnahannya. Jika dibahagi jangkamasa itu ianya kurang lebih 40-50 tahun untuk berjuang oleh warga yang berusia 18-50 tahun dengan kudrat dan semangat kecintaan pada tanah air serta agama. 40-50 tahun yang kedua iaitu penggal menikmati pembangunan dan keselesaan oleh warga yang telah mencapai status veteran sambil melahir generasi kedua yang membesar bersama para pejuang yang sentiasa menyemai dan mengingatkan tentang sejarah dari pengalaman generasi pertama itu sendiri. Di penggal ketiga, keselesaan dan kemasyhuran menghanyutkan warganya dengan kemewahan hingga semangat cinta pada tanah air dan ketuanan menjadi renggang dan lompang yang memudahkan penjajah menyelinap. Warga penggal ketiga tidak membesar bersama pengukir sejarah dan keramaian para pejuang sudah tiada kerana meninggalkan nama di batu-batu bersurat. Nikmat dan penghayatan kemerdekaan semakin jauh kerana tiada perhubungan secara langsung antara generasi pertama dengan generasi ketiga. Sisa semangat pejuang hanya tertulis pada kertas atau dokumentari yang menjadi pusaka. Seandai terus dilupakan tidak mustahil khazanah pusaka menjadi puaka di suatu hari nanti.

Bayangkan 40 tahun sebelum merdeka, 50 tahun (2007) selepas merdeka dan 40-50 tahun lagi untuk generasi seterusnya melangsungkan ketuanan di tanah air bertuah ini... yakni anak, cucu, cicit, piut kau dan aku meneruskan budaya hidup. Sememangnya aku berserah pada takdir yang menentukan tapi kau pastinya boleh memikirkan langkah apa yang patut dilakukan agar legasi generasi pertama kepada generasi ketiga dan generasi seterusnya terikat kukuh. Yang pasti dunia pasti akan kiamat! Selagi belum tiba waktunya kiamat adalah tanggungjawab yang hidup meneruskan perjuangan pejuang yang telah mati agar sejarah gemilang tidak mati.

Mungkin harapan dan bayangan aku terlalu luas untuk kau berimaginasi. Apa kata hayatinya untuk organisasi yang lebih kecil yang mana kau atau aku mempunyai kelangsungan penglibatan yang lebih jelas... iaitu keluarga. Aku sendiri sedang memikirkannya untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan dengan mencari susur galur atau salasilahnya terdahulu. Bagaimana? Salah satu cara pastinya menggunakan saluran yang sedang aku buat ini. Bila? Sekarang, esok atau lusa, mungkin tulat... akhirnya berpusing lagi hingga ke noktah hujung tahun dan berputar lagi seterusnya. Alasan... sibuk. Ahhh... masa sentiasa bergerak tanpa menunggu aku atau kau.

Kerana monolog ini aku tertangguh lagi sehari untuk melayan timbunan kerja. Sebagai penutup layangan monolog ini... hati aku hanya mampu berkalimah, insya-Allah.

Khamis, Disember 03, 2009

cover 370 # isu 15 Disember 2009















Sori la tak sempat previu cover 369 yang bertemakan Raya Haji. Rasanya korang dah ataupun tengah melayannya. Sibuk sangat pasal korban maka terkorban previu untuk isu 1 hb Disember tu.

Untuk pengakhiran tahun 2009, cover Majalah UJANG 370#isu 15 Disember ini menggabungkan karektor-karektor kartun dan karikatur krew Majalah UJANG. Gabungan yang selama ini berganding tangan dan bahu mengusahakan penerbitan setiap setengah bulan sekali untuk para pembaca merasa nikmat hepi dan sukses. Selama setahun dengan 24 keluaran para krew dan kartunis memerah kepala otak mendapatkan idea hingga ke lelehan yang terakhir demi menghepikan pembaca. Terima kasih pada korang semua yang sentiasa memberi sokongan dan kritikan membina menjadikan majalah ini majalah lawak teratas di bumi Malaysia nan bertuah ini.

Untuk 2010 pastinya kitorang akan terus berkarya dan memberi yang termampu serta terbaik buat korang. Yang penting korang hepi, kitorang pun tak sepi.