Rabu, Ogos 12, 2009

aku pasrah dan parah....

Sesungguhnya takdir membuat aku pasrah dan bila ia hadir serentak maka aku pasrah juga walaupun parah. KehendakNya tidak akan ada yang boleh menghalang dan aku sebagai hambaNya sedia menerimanya. Tarikh 9 Ogos 2009 menjadi tarikh untuk aku ingati sepanjang hayat kerana kepergian ayah mertua dan datuk aku yang cuma berbeza selang beberapa jam. Bukan aku mohon simpati dari kau tapi hanya melayan kata hati aku yang terasa kesal bila mengingati kembali kronologi sebelum kepergian ayah mertuaku, yang telah tinggal bersama keluarga aku sekian lama kerana menjalani rawatan dialisisnya di SMC (jutaan terima kasih pada kakitangannya terutama di bahagian dialisis dan doktor Sheikh).

Tidak dinafikan ada orang lain yang lebih hebat ujian dan dugaan dari aku ini. Ianya pasti lebih parah dan sudah tentunya pasrah dengan keadaan. Yang aku nak nyatakan di sini hanya kronologi sebelum kepergian ayah mertua yang mana aku terasa amat bersalah jika aku mengambil langkah awal membawanya ke hospital. Mungkin ini adalah penyebab pemergiaannya yang telah ditetapkan Yang Maha Kuasa. Aku sememangnya pasti tidak mampu mengubah takdir Tuhan dan kekesalan ini yang memberi pengajaran dan pengalaman untuk menerima kenyataan serta teruskan hidup. Kepada kau yang masih mempunyai orang tersayang dan disayang... sayangilahnya dan lakukanlah sesuatu yang membuktikan kau menyayanginya.

Yang pasti... aku dan kau akan terasa dan menghargai kehadiran seseorang apabila ia sudah tiada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan