Selasa, Ogos 04, 2009

Aku redha dan reda...

Ya salam, dari aku untuk kau...
Rasa lama dah aku tak mencoret monolog yang tak pernah berhenti... sentiasa berirama mengiringi denyut nadi. Cuma masa yang membuat aku terus bermonolog di hati dan mengabaikan ruangan ini untuk berkongsi dengan kau. Aku redha... dan aku harap kau juga agar dapat meredakan perasaan. Dah lama aku nak mencoret pasal redha dan reda ni... sejak tercatat luahan 'aku dimakan kawan'. Aku bagaikan disuruh belajar untuk bersabar menerima takdir, belajar dari pengalaman untuk dijadikan teladan. Aku dan kau diciptaNya dan dilalukan dengan berbagai dugaan sama ada susah atau senang semata-mata untuk diuji erti penghayatan kesabaran dan kesyukuran. Semua yang tercipta adalah ciptaanNya... Dia Maha Pencipta. Maka secara langsung dan sedar semuanya adalah milikNya. Aku dan kau hanya para pelakon di pentas dunia yang sama ada mampu menghayati dan mematuhi skrip atau tersimpang dari peraturan dan disiplin yang telah ditetapkanNya.

Bukan kerana aku pandai, bijak atau bagus... kau pun serupa juga. Aku dan kau sesama selalu lupa dan kerap tersedar bila terhantuk (banyak lupa, sikit ingat akan Dia). Tak salah rasanya aku menegur diri aku sendiri dalam monolog ini dan diri kau yang melayan coretan kata hati aku ini. Terima kasih.

Sesungguhnya redha yang tercetus dari kesabaran menerima kepayahan, malapetaka atau bencana serta masalah adalah penawar yang boleh meredakan jiwa. Kerana redha akan sesuatu kejadian maka akan reda perasaan meneruskan kehidupan. Semua adalah kepunyaanNya. Menerima atau menolak takdir kehidupan adalah seumpama menafikan ketentuanNya. Dengan redha bakal mewujudkan reda... membolehkan aku dan kau mengatur semula laluan kehidupan menuju destinasi untuk kembali kepadanya di kampung akhirat. Dalam perjalanan itu pasti akan ada lagi halangan dan lokasi persinggahan yang menuntut aku dan kau mengingatiNya. Teruskanlah perjalanan dengan menjamah bekalan yang dibawa bersama sambil mengutip dan isi semula serta menambah bekalan di sepanjang pengembaraan kehidupan.

Segala ketentuan/takdir wajib diredha semuga terbit perasaan reda... tanpa redha sudah pasti aku dan kau tak akan rasa reda. Jiwa akan sentiasa gundah gulana, menyalahkan keadaan yang menimpa. Kunci redha adalah sabar... bersyukurlah bila dah reda.

Maka semuga kau redha dengan apa yang aku coret ni... kerana keredha kau bakal meredakan aku untuk terus berada di ruangan ini, terima kasih. Syukur alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan