Rabu, Mei 27, 2009

aku...

Aku tetap akan terus mencatat monolog ini selagi DIA mengizinkan lintasan idea melalui ruang kepala hotak aku ini. Apa saja yang aku rasa boleh berkongsi dengan kau, akan aku cuba penuhi ruang ini setiap kali ada kesempatan masa. Untuk kesekian kalinya setelah 16067 hari atau 385440 jam atau 23126400 minit atau 1387584000 saat, tergerak hati ini untuk mengira angka-angka yang tersurat telah aku lalui dan tak tahu berapa banyak lagi angka yang tersirat telah ditentukan DIA untuk aku. Yang lebih aku terfikir ialah adakah angka-angka ini sama banyak jumlahnya aku menyebut dan mengingatiNYA? Aku tetap bersyukur dengan pemberianNYA dan aku akan terus hendak apa yang aku mahu dengan izin DIA walaupun aku tak tahu apa yang bakal aku dapat. Aku akan terus berusaha, meminta, berdoa dan berserah. Tak ketahuan di angka mana aku dapat menggapai dan menikmatinya sebelum tiba angka terakhir yang dinoktahNYA.

Sememangnya kehendak tidak pernah memuaskan hati (nafsu). Semua yang diimpi nak digapai walau tak berkemampuan. Andai tercapai yang dicita pasti akan ada lagi impian setingkat lagi untuk digapai. Aku juga punya satu impian untukku genggam, mungkin selepas tu aku nak memeluknya pulak. Kemudian... aku pastinya nak yang lebih lagi. Aku tahu kau juga takkan merasa puas dengan apa yang dimiliki dan ingin memiliki yang lebih lagi, selagi masih ada masa untuk berusaha mencapainya.

Sekarang aku masih berusaha dan aku nak berkongsi dengan kau tak lama lagi dengan izinNYA. Yang pasti aku boleh... mengubah impossible menjadi i'm possible. Menjadikan ia satu design yang aku, kau dan mereka boleh menggunakannya untuk mengisi jiwa dan memotivasi diri melalui pernyataan seninya.

Aku akan terus berusaha dan kau sabarlah menunggu... insyaAllah selagi ada masa.
Alhamdulillah kerana telah menikmati masa.

Khamis, Mei 14, 2009

Aku dan masa...

Fuhhh.... rasa dah lama aku tak bermonolog. Bukan kerana ketandusan idea tapi kerana kesibukan kerja. Rutin kerja sentiasa menghimpit masa luang aku menjadi lebih sempit. Aku lebih banyak bermonolog sendiri dan akhirnya hanyut bersama masa, hinggakan ruang untuk aku berkongsi bisikan hati yang melintas di kotak hotak aku berlalu begitu saja. Pernah nak aku berkongsi pengalaman dengan kau tatkala aku tekad membotakkan kepala awal Mei dulu kerana dek kepanasan dunia dan kenipisan ozon tapi kerja yang jadi penghalang masa aku.

Kini baru aku dapat meluangkan masa bersama kau. Semasa tanda-tanda tingkatan usia di sebalik helaian rambut yang mengurai bak rocker otai terbongkar ketika kesuburannya diragut mesin rambut letrik. Kini terserlah dua warna rambut berbeza yang menjadi nilaian mata kau jika melihatnya. Itu kata kau... dan aku tetap aku. Jiwa aku masih seperti dulu... seperti kau jugak. Tak mahu akui masa makin menjadi singkat. Memang kehidupan umpama roda, yang patah tumbuh, yang hilang berganti dan kini aku umpamakan kehidupan bagai rambut. Dipotong atau dicukur pasti akan tumbuh kembali dan begitu la seterus sehingga tiba masa dan saatnya untuk kembali. Boleh dipelihara selama mana yang disuka dan kerat lagi. Tetap api yang tumbuh kembali tu tak seperti dulu... mungkin menjadi jarang atau bertukar warna sebagai tanda berubah usia.

Emmm... aku dan kau masih lagi punya masa dan masa itu memang kepunyaan kau dan aku. Bukan masa penentu rasa tua atau muda tapi jiwa. Jiwailah hidup selagi ada masa. Masa untuk aku dan kau berubah... menjadi lebih baik dari masa yang telah berlalu.

Masa tak perlu dikejar kerana masa pasti datang menyapa.
Masa lalu untuk diingati, Masa sekarang untuk diisi, Masa depan untuk diamati.
Masa tak mencemburui kau tapi aku yang mencemburui masa kerana masa tak pernah menoleh dan berundur ke belakang malah sentiasa maju menuju ke depan.

Akhir bisik... aku masih memperjuangkan satu impian yang mana aku sentiasa yakin aku boleh. Mungkin disebabkan masanya belum tiba maka aku belum boleh nyatakan di masa ini. Kau berikanlah sedikit masa lagi walaupun masa tak pernah memberi ruang untuk kau atau aku untuk menangguhkannya berdetik.