Selasa, Oktober 20, 2009

aku yang satu...

SATU... semua orang tahu pasal angka satu. Mustahil kau tak kenal pasal angka satu ini. Dari yang mula mengenal angka hinggalah yang tua bangka sudah pasti tahu pasal angka satu. Seluruh dunia, tidak kiralah apa bahasa, bangsa dan negara pastinya ada satu angka bermakna satu.

Mulai dari angka satu maka bertambah lagi satu dan tambah lagi bagi menjadi angka-angka seterusnya. Tanpa angka satu, tiada angka-angka lain seterusnya menuju infiniti yang tak ketahuan titik noktahnya. Satulah satu-satunya yang satu... tiada dua atau berapa pun tanpa yang satu. Situlah satu permulaan...

Aku pun satu... satu-satunya aku yang satu ini. Tiada lain dari aku yang satu ini, begitu juga kau. Tiada satu lagi kau selain kau yang satu itu. Ada dan tiadanya aku atau kau tiada pengganti yang sama seperti diri seadanya.

Aku dan kau adalah dicipta oleh Yang Satu... Yang Maha Satu dan Dialah satu-satunya yang nombor satu. Bermula dari Satu ini terciptanya apa yang mahu olehNya. Dialah satu-satunya yang wajib ditumpukan, diingati, disebut, dipuja, dipuji, dituruti dan disembah. Maka satukan segala anggota dan minda agar bersatu dan sentiasa bersama Allah Yang Satu.

Ada lagi satu yang satu-satunya aku dan kau wajib ikuti sunnahnya untuk menjadi satu manusia beriman. Tiada rasul kecuali yang satu ini iaitu Rasulullah Nabi Muhamad SAW. Tiada apa yang tidak dilalui olehnya untuk aku dan kau contohi sebagai jalan hidup di dunia yang satu ini. Bayangkanlah satu dunia mentaati satu Tuhan dan satu Rasul...

Hanya dengan satu maka akan ada satu puluh, satu ratus, satu ribu, satu juta, satu bilion, satu trillion hingga infiniti yang boleh bersatu menjadi satu pasukan. Kaji semula hidup aku dan kau... dulu aku satu orang, setelah berpasangan hidup maka lahir anak menjadi satu keluarga. Bersama keluarga-keluarga lain di satu penempatan menjadi satu masyarakat. Dengan satu komuniti masyarakat pula membentuk satu negeri bersatu menjadi satu negara. Daripada bilangan satu sehingga menjadi ramai yang bersatu menjalani satu matlamat dan akhirnya bakal menemui Pencipta Yang Satu berseorangan.

Walau berapa banyak jumlah harta yang aku dan kau miliki akhirnya pasti akan pulang menemuiNya Yang Satu dengan 'satu helai satu pinggang' bersama satu iman. Bakal diadili di satu perhimpunan dengan satu timbangan serta menyeberangi di satu titian yang menentukan satu hukuman antara syurga atau neraka. Selagi aku dan kau yang ada hanya satu nyawa pilihannya juga satu iaitu antara nikmat syurga atau azab neraka.

Di satu kesempatan di penghujung Syawal ini... aku mohon kemaafan dari kau di sana andai ada menyinggung perasaan yang tak aku perasan di monolog ini. Apapun yang tercatat adalah terbit dari lubuk hati nurani terus menerus secara langsung. Hehehe... salam sejahtera untuk kau.

Ya Allah Yang Maha Esa, hanya pada Kau satu-satunya aku memohon keampunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan