Khamis, Oktober 08, 2009

aku dan disiplin...

Bila aku mengungkitkan masalah disiplin untuk sentiasa mengemaskini blog aku di ruangan sebelum ini, aku teringat akan tazkirah di bulan puasa lepas semasa mengerjakan tarawih di surau taman kediaman aku. Walaupun tak semua biji butir kata ustaz dapat aku catatkan tetapi kesimpulannya aku harap kau akan faham serta fikirkan tentang masa yang aku cuba kaitkan dengan disiplin, tu pun tak semua. Cuma yang mana aku ingat dan terlintas secara langsung tatkala mengetuk keyboard ni.

Disiplin masa. Mendisiplin masa solat terutamanya dan inilah yang utama dalam kehidupan aku dan kau sebagai hambaNya. Jika di bulan Ramadan aku dan kau begitu prihatin tentang waktu solat terutama waktu solat maghrib, diikuti waktu isyak dan tarawih berjemaah. Waktu solat yang lain bagai terabai walaupun tidak ditinggalkan. Bila tiba waktu maghrib aku dan kau pasti tahu dan peka akan detiknya, tepat. Kenapa di luar bulan Ramadan sering terlupa atau teragak-agak akan ketibaan waktunya.

Berjemaah solat isyak dan tarawih di surau beramai-ramai serta kadangkala disusuli pula tahlil serta tadarus. Semuanya terisi bagaikan sempurna untuk satu bulan yang mulia itu. Sedihnya bila beralih bulan seterusnya disiplin itu gagal diteruskan. Disiplin yang dibina dengan bersemangat di awal bulan selalu akan menurun grafnya di akhir bulan dan seterusnya hilang tenggelam bersama putaran masa sehinggalah tiba putaran seterusnya yang belum dijanjikan untuk aku dan kau menikmati semula dan mengulanginya.

Harap-harap nikmat waktu tidak aku dan kau abaikan... iaitu waktu senang, waktu lapang, waktu sihat, waktu muda dan waktu... waktu apa ye, kau fikirlah sendiri. Semoga selepas ini aku akan dapat mendisiplinkan masa untuk menghadapi masa depan. Kau dan aku punya masa yang sama iaitu 86400 detik sehari... yang membezakan aku dan kau hanyalah jangka hayat masa bila dijemput pulang sama ada cepat atau lambat.

Masa dan disiplin bagaikan... irama dan lagu atau isi dan kuku atau aur dan tebing. Terpisah ia maka pincanglah.

Ketemu lagi andai diizinkan masa... insyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan