Isnin, Mei 24, 2010

Selamat Untuk Aku...

Dua hari lepas adalah hari aku dilahirkan. Bersama famili di malam minggu aku ke rumah mak bapak aku untuk meraikannya tanpa seorang anak gadisku yang berada di hostel. Mak aku tertanya-tanya bila anak bongsuku tetiba bersuara nak makan kek dan nak tiup lilin. Aku tersenyum malu koala bila isteri tercinta menjelaskan kononnya nak potong kek selepas makan malam sambil mak abah meneka hari istimewa siapa hari itu. Kot-kot ada cerita awal kehidupan aku terbit dari mulut secara siaran langsung empunya rahim yang mengandung, menggendung, mendokong, memimpin aku sehingga mampu berdikari dan mempunyai kehidupan sendiri sekarang. Terima kasih sayang mak, ayah dan abang adik aku. Bukan mak bapak aku lupa, cuma tak berapa ingat... maklumlah jarang orang seusiaku nak meraikannya. Selalunya aku bawa hari-hari istimewa cucu mak bapak aku atau mak bapak aku sendiri untuk dirai. Mak aku kini dah 69 dan bapak aku 73 tahun menikmati dunia dalam kesederhanaan. Alhamdulillah...

Harapan aku hanyut dengan cerita lain selepas memasing tersedar hari istimewa aku. Tanpa cerita tawarikh tentang aku tapi hanya cerita-cerita semasa yang tetap menggembirakan kami sekeluarga. Mungkin tak cukup korum untuk sesama mendengar kisah-kisah aku yang mungkin aku sendiri belum tahu atau lupa. Mungkin di suatu hari nanti andai berkesempatan... tika berkumpul dengan adik-beradik yang lain kot. Bulan depan selang sehari dari tarikh hari aku muncul hari istimewa isteri tercinta pula. Mungkin aku boleh kumpulkan adik beradik dan mak bapak kat rumah aku untuk sesama meraikannya. InsyaAllah...

Bukan aku nak mengembangkan lubang hidung untuk sebuah kehidupan ini dengan mencatat monolog ini. Hanya semata-mata untuk renungan dan menginsafkan diri sendiri dalam melalui hidup yang semakin bergerak pantas. Anak-anak cepat membesar, perbelanjaan juga mengembang dan bertambah, amal ibadat aku sendiri kabur untuk mengukur dan menilainya, kerjaya pula... entahlah.

Selagi ada hayat... aku kena terus menghayati hidup ini dengan penuh iltizam dan kesyukuran atas nikmat yang telah Tuhan berikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan