Rabu, Disember 01, 2010

Aku dan waspada...

WASPADA... satu perkataan yang menyeru untuk berhati-hati dan tatkala mendengarnya pasti akan mempengaruhi minda agar menjaga tindakan. Berfikir sebelum buat, lakukan dengan cermat dan mensyukuri nikmat. Bukan aku nak nasihatkan kau supaya berhati-hati tetapi sememangnya kau dan aku wajib sentiasa berwaspada setiap ketika walau di mana saja.

Apa yang aku fikirkan adalah kewujudan perkataan WASPADA itu terdiri dari perkataan-perkataan lain yang ada kaitan dan digabungkan. Sama ada memang tercipta sejak azali yakni dari mula wujud bahasa Melayu atau secara kebetulan atau dikemasguna dari perkataan-perkataan yang seerti dengannya... aku tak tahu dan tak pernah diberitahu kecuali kalau kau yang tahu maka silalah beritahu. Sesedar aku, sejak aku mengenal sebutan dan perkataan telah ada penggunaan perkataan ini. Terlintas di minda tentang perkataan AWAS, WAS-WAS dan BERPADA-PADA yang mempunyai sifat hampir sama dengan perkataan WASPADA.

Awas satu seruan agar berhati-hati dan hati akan menjadi was-was supaya cermat melakukan sesuatu. Perasaan was-was pada tindakan pun harus berpada-pada. Berpada-pada pada pertimbangan akal pasti hasilnya lebih baik daripada yang tiada sebarang dorongan mengawasi tindakan apabila melakukannya dengan sembarangan. Tindakan tanpa WASPADA boleh membawa padah.

Bukan aku nak mencetuskan kekeliruan atau membahaskannya apatah lagi berdebat tentang perkataan ini. Aku cuma terfikir kerana ilham ini datang melintas secara sembrono ketika aku memerah idea tentang yang lain. Aku rasa ada kebenaran tentang perkaitan perkataan-perkataan itu dan ianya bersatu menjadi satu agar membawa maksud yang jitu. Tak gitu?

Kesimpulannya pada aku... berWASPADA perlu ada rasa awas dan was-was serta perlu berpada-pada dengan perasaan yang diseru oleh perkataan ini supaya kehidupan sentiasa lebih berhati-hati. Andai waspada sentiasa ada dalam hidup pastinya akan mengurangkan risiko atau mudah menyelesaikan masalah lalu melancarkan perjalanan sebuah kehidupan.

1 ulasan: