Isnin, Oktober 04, 2010

Selamat Sudah Hari Raya...

Kini tiba lagi di penghujung bulan raya di Syawal indah ini. Bahang raya masih terasa terutama di hari cuti Sabtu dan Ahad... minggu depan adalah hujung minggu terakhir di bulan Syawal. Aku percaya masih akan ada lagi rumah terbuka dan silap hari bulan terlajak masuk ke bulan Zulkaedah. Tak kesah la asalkan keraian itu untuk mengeratkan silaturrahim sesama teman, kawan, rakan, sahabat dan juga keluarga.

Aku belum pernah lagi buat rumah terbuka yang terbuka untuk semua orang... cuma terbuka untuk keluarga sendiri aje. Hakikatnya rumah aku sentiasa terbuka untuk dibuka pintunya sepanjang tahun selagi rumah aku diketuk orang... siapa saja dialu-alukan datang. Bukan tak berkeinginan membuatnya cuma aku tak ghairah untuk membuka sebuka-bukanya rumah aku. Bukannya aku menolak rezeki tapi hati aku masih tak begitu teruja untuk meraikan Hari Raya sebegitu. Aku rasa kedatangan tetamu beramai-ramai sudah pasti akan mengurangkan tumpuan melayan dan beramah mesra dengan diorang. Berkemungkinan besar tetamu yang mengharapkan untuk bersembang lama juga akan terencat kerana kesibukan tuan rumah melayan tetamu lain. Bukan aku menafikan kebaikan rumah terbuka cuma buat masa ini belum terangsang melaksanakannya.

Minggu lepas di rumah seorang sahabat sekelas bertemulah aku dengan rakan-rakan lain yang pernah sekelas dan sesekolah. Walaupun tak seramai yang diharapkan tapi kehadiran diorang membuat aku seronok berhari raya dan terimbau kenangan 30-20 tahun dulu. Berbeza dan berlainan... tumbesaran yang cukup ketara pada setiapnya termasuk aku di mata diorang terutama rupabentuk dan penampilan. Syukur alhamdulillah memasing masih sihat walafiat. Pada teman yang tak berkesempatan aku penuhi undangan ke rumah terbukanya, diri aku dan mewakili teman-teman lain mohon berbillion-billion maaf zahir dan batin. Mungkin bukan jodoh pertemuan aku dan kau untuk tahun ini... insyaAllah di tahun berikutnya.

Di akhir papan kekunci ini, aku sudah pasti merindui serta mengharapkan ketibaan Syawal nan indah dan menemui kembali teman-teman yang lama tak berkesempatan bertemu dek kesibukan rutin peribadi memasing. Yang penting semoga kau dan aku menempuh dahulu bulan sebelumnya yakni Ramadan dengan penuh ketaqwaan dan merasa perubahan di bulan-bulan seterusnya untuk menjadi insan yang lebih baik. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan