Selasa, September 08, 2009

BUMPER PUASA DAN RAYA 1430H/2009

Ahaaa... bumper lagi! Kali ni aku previu 2 bumper sekali iaitu Bumper Puasa dan Bumper Syoknya Raya sebab masa begitu menghambat dan menambat aku untuk menyudahkan kerja. Uhuk... huuu.... Dua-dua bumper ni ada VCD percuma (dah promo masa previu Bumper Merdeka). Kau layan la time boring beraya tu... hehehe. Aku kena teruskan perjuangan untuk terbitan lepas raya, kalau tak, tak raya la aku. Aku pasrah ngan keadaan ini dan pasti akan parah kalau takde duit raya! Harghhhh....

Apa-apa pun... aku kat sini ingin mengucapkan kalimah Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya pada kau semua yang melayan monolog aku ni. Maaf juga aku pohon andai ada kesalahan dan kelanjuran kata hati ini sama ada monolog atau dialog, yang nyata atau tersembunyi, lama atau baru, yang diingati atau dilupai... aku mohon maaf zahir dan batin.

Rabu, Ogos 12, 2009

aku pasrah dan parah....

Sesungguhnya takdir membuat aku pasrah dan bila ia hadir serentak maka aku pasrah juga walaupun parah. KehendakNya tidak akan ada yang boleh menghalang dan aku sebagai hambaNya sedia menerimanya. Tarikh 9 Ogos 2009 menjadi tarikh untuk aku ingati sepanjang hayat kerana kepergian ayah mertua dan datuk aku yang cuma berbeza selang beberapa jam. Bukan aku mohon simpati dari kau tapi hanya melayan kata hati aku yang terasa kesal bila mengingati kembali kronologi sebelum kepergian ayah mertuaku, yang telah tinggal bersama keluarga aku sekian lama kerana menjalani rawatan dialisisnya di SMC (jutaan terima kasih pada kakitangannya terutama di bahagian dialisis dan doktor Sheikh).

Tidak dinafikan ada orang lain yang lebih hebat ujian dan dugaan dari aku ini. Ianya pasti lebih parah dan sudah tentunya pasrah dengan keadaan. Yang aku nak nyatakan di sini hanya kronologi sebelum kepergian ayah mertua yang mana aku terasa amat bersalah jika aku mengambil langkah awal membawanya ke hospital. Mungkin ini adalah penyebab pemergiaannya yang telah ditetapkan Yang Maha Kuasa. Aku sememangnya pasti tidak mampu mengubah takdir Tuhan dan kekesalan ini yang memberi pengajaran dan pengalaman untuk menerima kenyataan serta teruskan hidup. Kepada kau yang masih mempunyai orang tersayang dan disayang... sayangilahnya dan lakukanlah sesuatu yang membuktikan kau menyayanginya.

Yang pasti... aku dan kau akan terasa dan menghargai kehadiran seseorang apabila ia sudah tiada.

Selasa, Ogos 04, 2009

cover 362 BUMPER MERDEKA # 15/8/09

Bumper datang lagi! Tetiap tahun kena bikin bumper tapi poket tak pulak kembung macam bumper. Sepatutnya aku nak previu isu 361 isu normal 1/8/09 tapi sebabkan dah terlajak sebab sibuk bikin bumper puasa ngan raya maka aku previu terus isu Bumper Merdeka aje la. Lagi pun kat isu Bumper Merdeka kali ni ada sticker kereta. Sticker yang boleh kau tampal kat kereta (kalau ada... kalau takde sukati kau la nak tampal kat kereta sesapa) untuk rasa bangga sebagai warga Malaysia, sempena kemerdekaan terutamanya. Bukan isi kandungnya je best yang bakal memerdekakan minda kau tapi dapat extra lagi sticker kereta... dah tentu kena extra duit gak. Hehehe... layan. Nyah penjajah tensen yang menakluk minda... merdeka!!!

Sticker yang bakal menhiasi kereta kau... bayangkanlah kalau hanya kereta kau je yang takde sticker ni.

Aku redha dan reda...

Ya salam, dari aku untuk kau...
Rasa lama dah aku tak mencoret monolog yang tak pernah berhenti... sentiasa berirama mengiringi denyut nadi. Cuma masa yang membuat aku terus bermonolog di hati dan mengabaikan ruangan ini untuk berkongsi dengan kau. Aku redha... dan aku harap kau juga agar dapat meredakan perasaan. Dah lama aku nak mencoret pasal redha dan reda ni... sejak tercatat luahan 'aku dimakan kawan'. Aku bagaikan disuruh belajar untuk bersabar menerima takdir, belajar dari pengalaman untuk dijadikan teladan. Aku dan kau diciptaNya dan dilalukan dengan berbagai dugaan sama ada susah atau senang semata-mata untuk diuji erti penghayatan kesabaran dan kesyukuran. Semua yang tercipta adalah ciptaanNya... Dia Maha Pencipta. Maka secara langsung dan sedar semuanya adalah milikNya. Aku dan kau hanya para pelakon di pentas dunia yang sama ada mampu menghayati dan mematuhi skrip atau tersimpang dari peraturan dan disiplin yang telah ditetapkanNya.

Bukan kerana aku pandai, bijak atau bagus... kau pun serupa juga. Aku dan kau sesama selalu lupa dan kerap tersedar bila terhantuk (banyak lupa, sikit ingat akan Dia). Tak salah rasanya aku menegur diri aku sendiri dalam monolog ini dan diri kau yang melayan coretan kata hati aku ini. Terima kasih.

Sesungguhnya redha yang tercetus dari kesabaran menerima kepayahan, malapetaka atau bencana serta masalah adalah penawar yang boleh meredakan jiwa. Kerana redha akan sesuatu kejadian maka akan reda perasaan meneruskan kehidupan. Semua adalah kepunyaanNya. Menerima atau menolak takdir kehidupan adalah seumpama menafikan ketentuanNya. Dengan redha bakal mewujudkan reda... membolehkan aku dan kau mengatur semula laluan kehidupan menuju destinasi untuk kembali kepadanya di kampung akhirat. Dalam perjalanan itu pasti akan ada lagi halangan dan lokasi persinggahan yang menuntut aku dan kau mengingatiNya. Teruskanlah perjalanan dengan menjamah bekalan yang dibawa bersama sambil mengutip dan isi semula serta menambah bekalan di sepanjang pengembaraan kehidupan.

Segala ketentuan/takdir wajib diredha semuga terbit perasaan reda... tanpa redha sudah pasti aku dan kau tak akan rasa reda. Jiwa akan sentiasa gundah gulana, menyalahkan keadaan yang menimpa. Kunci redha adalah sabar... bersyukurlah bila dah reda.

Maka semuga kau redha dengan apa yang aku coret ni... kerana keredha kau bakal meredakan aku untuk terus berada di ruangan ini, terima kasih. Syukur alhamdulillah.

Khamis, Julai 16, 2009

cover 360 # 15 Julai 2009

Alamak, sori la terlambat paparkan cover kali ni. Disebabkan kerja yang melambak nak kejar dan dikejar dek deadline Bumper Merdeka, VCD Bumper Puasa & Raya. Korang tunggu la ye. Beli jangan tak beli... promo VCD puasa & raya pun ada kat blog ni. Korang layan la dulu.
Apa-apa hal pun cover kali ni pasal gila wayang 'Transformer'. Walaupun aku belum sempat melayan filem ni tapi bahang dari promosinya memang mengkagumkan. Betapa pentingnya usaha promosi terhadap satu-satu barangan yang nak dipasarkan memang menjanji pulangan hebat. Hati aku melonjak nak tengok di panggung tapi kerana faktor masa dan usia maka aku lupakannya. Aku layan DVD je la...
Okey la korang layan la majalah ni, semoga terlerai tensen, bercerai boring... Aku nak sambung kerja sebelum dikerjakan! Hehehe....

Ahad, Julai 05, 2009

aku dimakan kawan...

Makan? Bukan pasal makan sampai kenyang tapi makan untuk senang. Nak hidup senang yang sekelumit dengan cara makan kawan. Kawan yang ikhlas memberi... memberi apa saja untuk berkongsi masa depan yang panjang dan luas dianiaya perjalananannya. Bukan tak redha cuma nak luah rasa kecewa. Sebenarnya aku tak sampai hati cerita keburukan orang... tapi hati ini selalu bermonolog maka aku coretkan di ruangan monolog aku ini untuk berkongsi tauladan dengan kau. Harap hati ini bakal reda dan redha menerima permainanan kawan-kawan yang makan kawan.

Aku dan dia kenal dah lama... berkawan dan bekerja di tempat yang sama. Bakat kartunnya ramai pembaca terima. Setelah berhenti (mungkin diberhentikan) tak jumpa agak lama. Hanya khabar sesekali aku terima, di bidang internet dia membina nama. Tetiba di ofis dia menjelma, tawar kebolehannya aku terima. Kerja dijanjikan tak makan masa lama, sekejap cuma tapi hingga kini dah berbulan usaha aku koma. Diikutkan hati memang tak boleh terima, berdendam dan membalasnya bukan aku punya terma. Itu hukum Tuhan yang dah tentu hukumannya adil saksama.

Ada ubi ada batas... itu bukan cara aku. Kau pun maklum maksudnya dari pembayang itu. Perumpamaan itu memang tak boleh pakai sebab dendam terpendam akan melanjutkan serta mengeruhkan keadaan. Biarkanlah ubi itu hidup walau dicampak kat mana sekalipun kerana tanpa batas ubi masih boleh hidup... hidup selagi mana ada tanah sama ada tanah halal atau tanah haram. Batas itu hanya untuk memudahkan ubi hidup subur. Batas juga ada batasannya... batas harus selalu dipelihara agar ubi berisi. Maka timbul pulak perumpamaan... Diam-diam ubi berisi.

Di sebalik diamnya, ubi akan berisi. Di sebalik kebaikan sebenarnya dalam diam(niat) ada sesuatu yang nak diisi. Matlamatnya tak mengira cara asalkan tercapai niat di hati. Asalnya mungkin murni tapi haloba menjadi ganti, segala janji sanggup dimungkiri. Mungkin bukan ini pengertian sebenar perumpamaan bahasanya tapi pengertian itu bebas diertikan oleh sesiapa. Aku dengan cara aku dan kau dengan cara kau... tapi kau juga harus setuju dan tahu cara aku sebab pengalaman baru aku dimakan kawan satu pengajaran.

Walau tak pernah minum secawan, tak pernah berlawan cuma berkawan tapi aku juga nak sama terbang mencapai awan. Jangan kerana seciput habuan dah sawan, nafsu merelakan hati ditawan... dengan syaitan menjadi kawan.

Selagi bernafsu semua boleh dibuat, hanya iman yang jadi penambat. Dengan syaitan jangan jadikan sahabat, kelak dosa dan kesal kekal menghambat. Pada Tuhan mungkin boleh memohon taubat, kemaafan aku belum tentu hati ini akan terubat.

Rabu, Julai 01, 2009

cover 359 # 01 Julai 2009

Tak pasal-pasal aku dan kau semua dah meninggal... meninggalkan setengah tahun pertama 2009. Sekarang ni aku lempar dan lampirkan cover Majalah Ujang isu 359 keluaran 01 Julai 2009. Kelepak-kelepuk, tup-tap-tup-tap buat kerja... dah masuk babak kedua tahun 2009. Dah la buat kerja yang terkedepan masa supaya tak langgar deadline, tau-tau dah nak kena ulang aktiviti macam tahun-tahun yang lepas. Macam dah jadi tradisi pulak... asal nak tiba puasa dan raya je kena buat VCD untuk hadiah pembaca yang beli bumper isu. Hadoiii... kalau berbaloi takpe la jugak, dah la bertambah kerja tapi pendapatannya.... alaaa sedih la nak khabo. Biar aku dan geng aku tanggung derita hati, jantung, limpa dan buah pinggang ini asalkan kau dan kompeni aku bahagia. Tak salah buat kerja amal... yang salah ialah mengamalkan kerja yang salah. Kan, kan, kan? Okey la... kau layan laa, moga hepi. Huuuu....

Isnin, Jun 15, 2009

isu 358 # 15 Jun 2009

Aiseyman... isu kali ni pasal penyakit merbahaya yang tengah melanda dunia. Harap-harap aku, kau dan semua tak terhidap penyakit berbahaya ni atau penyakit-penyakit lain. Moga semua sihat sejahtera apatah lagi bila kau membaca majalah ni.

Yang penting aku dan kau terhindar dari penyakit mental dan tensen bila melayan majalah ni.

Ahad, Jun 14, 2009

aku dan projek...

Masa aku menulis ni aku layan dua projek. Satu projek untuk aku, satu lagi projek ofis. Kat ofis aku tengah laksanakan projek bikin VCD untuk bumper isu raya... macam tahun-tahun lalu. Kena berlakon sekali setahun tanpa rela. Memula dulu memang teruja tapi sejak tahun lepas makin hampeh sebab dek keterpaksaan atau rela dalam paksa. Tu pasal opis, malas nak aku cerita panjang... kang banyak pula dosa aku.

Projek aku plak ialah layan melukis secara digital dengan perisian photoshop. Layan hari demi hari... sampai la ke hari ni aku nak berkongsi dengan kau. Aku buat masa ada ketika lapang atau bila melepasi tensen layan deadline demi deadline yang sentiasa mengejar rutin hidup aku demi membuatkan kau hepi. Asyik nak kaitkan hal ofis je! Kat sini aku nak layan karya aku... melukis ngan photoshop. ...

Setelah aku scan gambar asal, aku trace figure line. Kemudian aku masukkan warna asas.






Bila masuk warna asas pada kulit dan baju serta objek lain aku masukkan tone demi tone pula dengan warna yang lebih gelap untuk menampakkan rupa bentuknya.





Selepas memasukkan tone-tone asas maka diteruskan pulak dengan tone yang lebih detail.

Seterusnya meletakkan bayang bagi menonjolkan pencahayaan.


Untuk terakhirnya, masukkan pula background sesedap mata memandang bagi menonjolkan objek yang dilukis.

Setelah lebih sebulan aku melayan projek mengupgrade foto hitam putih yang klasik ni maka siaplah dan puas hati la jugak rasanya... rasa hati pelanggan aku pula bagaimana? Masa aku menulis ni masih lagi belum dapat tidakbalasnya. Biar aku tanggung sendiri....

Yang penting aku laksanakan dengan penuh minat dan semampu yang boleh. Harap-harap kau puas hati dengan hasil karya aku.

Untuk nampak klasik aku menukarkan mode kepada hitam putih.

Sekian.

Rabu, Mei 27, 2009

aku...

Aku tetap akan terus mencatat monolog ini selagi DIA mengizinkan lintasan idea melalui ruang kepala hotak aku ini. Apa saja yang aku rasa boleh berkongsi dengan kau, akan aku cuba penuhi ruang ini setiap kali ada kesempatan masa. Untuk kesekian kalinya setelah 16067 hari atau 385440 jam atau 23126400 minit atau 1387584000 saat, tergerak hati ini untuk mengira angka-angka yang tersurat telah aku lalui dan tak tahu berapa banyak lagi angka yang tersirat telah ditentukan DIA untuk aku. Yang lebih aku terfikir ialah adakah angka-angka ini sama banyak jumlahnya aku menyebut dan mengingatiNYA? Aku tetap bersyukur dengan pemberianNYA dan aku akan terus hendak apa yang aku mahu dengan izin DIA walaupun aku tak tahu apa yang bakal aku dapat. Aku akan terus berusaha, meminta, berdoa dan berserah. Tak ketahuan di angka mana aku dapat menggapai dan menikmatinya sebelum tiba angka terakhir yang dinoktahNYA.

Sememangnya kehendak tidak pernah memuaskan hati (nafsu). Semua yang diimpi nak digapai walau tak berkemampuan. Andai tercapai yang dicita pasti akan ada lagi impian setingkat lagi untuk digapai. Aku juga punya satu impian untukku genggam, mungkin selepas tu aku nak memeluknya pulak. Kemudian... aku pastinya nak yang lebih lagi. Aku tahu kau juga takkan merasa puas dengan apa yang dimiliki dan ingin memiliki yang lebih lagi, selagi masih ada masa untuk berusaha mencapainya.

Sekarang aku masih berusaha dan aku nak berkongsi dengan kau tak lama lagi dengan izinNYA. Yang pasti aku boleh... mengubah impossible menjadi i'm possible. Menjadikan ia satu design yang aku, kau dan mereka boleh menggunakannya untuk mengisi jiwa dan memotivasi diri melalui pernyataan seninya.

Aku akan terus berusaha dan kau sabarlah menunggu... insyaAllah selagi ada masa.
Alhamdulillah kerana telah menikmati masa.

Khamis, Mei 14, 2009

Aku dan masa...

Fuhhh.... rasa dah lama aku tak bermonolog. Bukan kerana ketandusan idea tapi kerana kesibukan kerja. Rutin kerja sentiasa menghimpit masa luang aku menjadi lebih sempit. Aku lebih banyak bermonolog sendiri dan akhirnya hanyut bersama masa, hinggakan ruang untuk aku berkongsi bisikan hati yang melintas di kotak hotak aku berlalu begitu saja. Pernah nak aku berkongsi pengalaman dengan kau tatkala aku tekad membotakkan kepala awal Mei dulu kerana dek kepanasan dunia dan kenipisan ozon tapi kerja yang jadi penghalang masa aku.

Kini baru aku dapat meluangkan masa bersama kau. Semasa tanda-tanda tingkatan usia di sebalik helaian rambut yang mengurai bak rocker otai terbongkar ketika kesuburannya diragut mesin rambut letrik. Kini terserlah dua warna rambut berbeza yang menjadi nilaian mata kau jika melihatnya. Itu kata kau... dan aku tetap aku. Jiwa aku masih seperti dulu... seperti kau jugak. Tak mahu akui masa makin menjadi singkat. Memang kehidupan umpama roda, yang patah tumbuh, yang hilang berganti dan kini aku umpamakan kehidupan bagai rambut. Dipotong atau dicukur pasti akan tumbuh kembali dan begitu la seterus sehingga tiba masa dan saatnya untuk kembali. Boleh dipelihara selama mana yang disuka dan kerat lagi. Tetap api yang tumbuh kembali tu tak seperti dulu... mungkin menjadi jarang atau bertukar warna sebagai tanda berubah usia.

Emmm... aku dan kau masih lagi punya masa dan masa itu memang kepunyaan kau dan aku. Bukan masa penentu rasa tua atau muda tapi jiwa. Jiwailah hidup selagi ada masa. Masa untuk aku dan kau berubah... menjadi lebih baik dari masa yang telah berlalu.

Masa tak perlu dikejar kerana masa pasti datang menyapa.
Masa lalu untuk diingati, Masa sekarang untuk diisi, Masa depan untuk diamati.
Masa tak mencemburui kau tapi aku yang mencemburui masa kerana masa tak pernah menoleh dan berundur ke belakang malah sentiasa maju menuju ke depan.

Akhir bisik... aku masih memperjuangkan satu impian yang mana aku sentiasa yakin aku boleh. Mungkin disebabkan masanya belum tiba maka aku belum boleh nyatakan di masa ini. Kau berikanlah sedikit masa lagi walaupun masa tak pernah memberi ruang untuk kau atau aku untuk menangguhkannya berdetik.

Rabu, April 08, 2009

Aku... perasan dan perasaan

Aku...
Ada perasaan dan juga perasan. Perasan akan perasaan yang ada dalam aku adalah perasaan aku. Kau jugak ada perasan dan perasaan. Perasan itu maknanya menyedari dan perasaan itu pula adalah emosi. Sama ada suka, hepi, gembira, riang, bangga, bongkak, riak, takut, seram, hiba, pilu, sedih... itu semua terbit dari kalbu seorang aku. Aku perasan perasaan-perasaan tu, begitu jugak kau dengan perasaan kau. Aku tau perasaan aku tapi aku tak tau perasaan kau, kau pula sudah pasti tak tau perasaan aku. Cuma luahan dalam rupabentuk fizikal saja yang menjadi cermin perasaan aku. Persoalannya... bagaimana rupabentuk perasaan itu? Adakah bergumpal-gumpal, berbaris, berterabur, berkepul-kepul atau bergelombang... kau cuma perasan akan perasaan aku tatkala terlukis di wajahku tapi objek perasaan di mana? Kalau perasaan marah, bentuknya cecair ke atau seandainya berperasaan gembira, bentuknya pepejal ke? Perasaan gembira tiba-tiba boleh hilang dan bertukar menjadi sedih, begitu juga perasaan sedih... aku boleh menukarkannya menjadi riang walaupun hadirnya perlahan. Silap haribulan aku menjadi hipokrit jika perasaan di kalbu disembunyikan di sebalik riak wajah.

Aku bayang perasaan dan kentut adalah sama. Kau perasan tak ada persamaan dalam kewujudannya. Keduanya berasal dari dalam aku. Kedua-duanya juga boleh dipendam dan boleh diluahkan lantas diperasan oleh kau. Kentut dan perasaan tak boleh dilihat tapi boleh diperasan. Kentut boleh diperasan kerana bau dan bunyi, perasaan pula tergambar di wajah dan kelakuan. Andainya boleh dilihat kedua-duanya, bagaimana bayangan rupabentuknya? Bersegi, bulat, bujur, berangkai-rangkai, bertali arus atau... ahhh, bayangkanlah sendiri khazanah masing-masing. Kentut aku, suka hati aku la nak cipta rupabentuk yang bagaimana. Hanya aku saja yang berhak atas perasaan dan kentutku.

Kalau perasaan boleh dinyatakan melalui riak wajah dan kelakuan, kentut juga boleh ditafsir keperibadiannya melalui bunyi serta baunya. *(Kenyataan ni aku ambil dari artikel di Ruangan Sechoit Majalah Ujang isu 355).

1. Tak jujur - kentut tapi tuduh aku
2. Bengong - menahan kentut berjam-jam hingga perut kembung
3. Yakin Diri - kentut dengan lantang dan selamba
4. Tolol - kentut dalam selimut kemudian kibaskan baunya
5. Strategik - sembunyikan kentut dengan ketawa kuat-kuat
6. Misteri - kentut yang senyap tapi tak dapat dikesan
7. Gugup - terkentut bila disergah
8. Periang - kentut perlahan-lahan kemudian senyum sendirian.

Apa-apa pun perasaan, perasan dan kentut adalah milik peribadi maka... jagalah peribadi agar sentiasa suci. Andai tercemar cepat-cepatlah cuci.

Aku perasan perasaan aku...

Rabu, April 01, 2009

aku dan kau...

Aku memang la aku. Aku boleh jadi kau dan kau jugak boleh bertukar menjadi aku. Tatkala aku di kedudukan kau maka jadi kau sebaliknya bila kau berada di lokasi aku maka jadi la aku.

Dalam mereka
ada dia...
Dalam dia
ada kau
Dalam kau
ada aku
Dalam aku
pun ada kau.

Tak kira sama ada itu aku atau ini kau... pengisian hidup adalah sama iaitu usaha. Tanpa usaha takkan tercapai impian matlamatnya iaitu kejayaan. Sama ada menjalani usaha dengan cara senang atau susah dan kecapi kejayaan yang kecil atau besar itu adalah takdir. Jika berjaya itu nikmat, andai gagal pasti ada hikmah yang tersembunyi kunci hikmat.

Menjalani usaha gerenti menuju tingkatnya, ketika mendaki tingkat itu mesti ada dorongan dan setiap dorongan mesti bersama motivasinya. Haaa... tang motivasi ni aku nak manipulasi. Aku nak motivasi sentiasa ada dalam diri... seiring, berganding dan bersatu menjadi aku. Motivasi selalu diperlihatkan dan sentiasa terpancar dalam minda menyuluh jalan kehidupan.

Dari kata dasar I'Mpossible akan aku cipta dan reka ungkapan kata motivasi menjadi 'word design' dan diterjemahkan ke atas cenderahati. Andainya ianya ada dalam aku sudah pasti juga boleh berada dalam kau... sebab aku dan kau adalah aku.

Aku tau... aku dan kau boleh.

Isnin, Mac 30, 2009

Aku...
Aku rasa nak tulis yang bermanfaat untuk aku dan sesiapa saja yang mengaku dirinya itu aku. Pasal aku untuk menjadi aku yang sebenar... aku dari spek mata hitam aku sendiri, yang lahir dari hati aku dan diterjemahkan ke blog ni dengan kapasiti kemampuan aku seadanya.

Sebenarnya aku nak kau menjadi aku sepertimana kau seadanya. Aku tak tau sama ada aku dan kau itu sama, yang penting kau dan aku bersama-sama menjadi aku... Aku Boleh.

Aku boleh...
Aku tau aku boleh. Semua orang yang menjadi aku juga boleh. Boleh melakukan apa saje yang difikir tanpa menafikan kebolehannya. Fikirkan apa saja yang aku nak buat pasti aku akan buat. Bukan keputusan atau hasil yang aku buat itu penyudahnya tapi apa yang aku usaha dan laksanakan untuk membuatnya adalah satu kejayaan. Kau-kau ramai yang dah berjaya dan masih jugak mencari kejayaan. Kau-kau yang dah berjaya masih jugak belum mencapai kejayaan sebenar selagi kau masih terus berusaha mancari kejayaan lain yang lebih jaya. Maknanya kau masih mencuba berusaha selagi belum puas berjaya. Tak berjaya la tu. Memang kau dah berjaya tapi masih jugak cari kejayaan yang lain. Aku pun nak macam tu... mencari kejayaan selagi jantung masih berdegup, tangan boleh menggenggam, otak kekal berpusing dan kaki berdaya melangkah meneruskan usaha mencapai noktah kejayaan ntah bila. Ada ke noktah kejayaan? Mana ada... selagi belum puas. Sehebat mana pun kejayaan aku tetap akan mencari kejayaan yang lebih hebat dari kejayaan yang pernah dikecap. Chewahhh...

Kejayaan tu apa? Ada ke ianya wang ringgit atau harta benda atau kebahagiaan atau pun kepuasan melakukan sesuatu yang pernah diimpikan dan terus mencari kejayaan yang lebih hebat. Masing-masing yang menjadi aku pasti ada nilai kejayaannya sendiri.

Aku tau aku boleh...